JASIN - Tapak Ekskavasi Arkeologi Kampung Chohong berpotensi dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelancongan.

Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau Melaka Datuk Ghazale Muhamad berkata, ia berikutan pelbagai artifak dipercayai dari penempatan manusia antara abad ke-14 dan ke-19 ditemui di kawasan tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun perlu keseimbangan antara usaha memelihara tapak bersejarah dan membangunkannya sebagai tarikan pelancongan seperti dilakukan di tapak bersejarah di negeri ini.

“Kajian dijalankan di tapak ini mewujudkan sebuah tapak carian tamadun yang menjadi perhatian dunia seperti Kompleks Sungai Batu (Kedah), Borobudur (Indonesia) dan Angkor Wat (Kemboja), sekali gus meletakkan Melaka di peta pelancongan.

"Sehubungan itu, pembangunan kawasan bersejarah itu akan menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor ekonomi masyarakat setempat.

"Pada masa sama ia turut menambah nilai kepada produk pelancongan di negeri ini," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke tapak itu, hari ini.

Turut serta, Timbalan Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara; Mesran Mohd Yusop; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Khamis Abas dan Ketua Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Prof Madya Dr Asya'ari Muhammad.

Ghazale berkata, kajian perlu terus dilakukan bagi mendapatkan bukti-bukti berkaitan penempatan itu termasuk data sejarah yang melibatkan kawasan berkenaan sebelum langkah menjadikan tapak itu sebagai tarikan pelancongan dilaksanakan.

Sementara itu, Mesran berkata, menerusi kajian dijalankan ia secara tidak langsung mewujudkan satu lagi tapak carian zaman Prasejarah berdasarkan beberapa penemuan antaranya seramik, duit syiling, peluru dan logam.

"Kita turut menemui alatan batu yang usianya dianggarkan 2,000 tahun dulu iaitu pada zaman purba abad sebelum Masihi," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja ekskavasi arkeologi fasa pertama selama dua minggu itu berakhir pada hari ini.

"Semua proses ekskavikasi ini melibatkan kerjasama antara Jabatan Warisan Negara, penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Perzim.

"Kita berharap agar kajian secara komprehensif dapat dijalankan dengan lebih teliti dan terperinci di kawasan ini.

"Ia penting supaya data dan bukti sejarah mengenai penempatan awal masyarakat di negeri ini yang dilihat banyak tertumpu kepada persoalan aktiviti penduduk tempatan dan kedatangan pedagang dipercayai dari China dan Arab, dapat ditemui," katanya.

Dalam pada itu, Asya'ari berkata, kajian awal mendapati sungai yang terletak kurang daripada empat meter dari tapak itu dipercayai digunakan untuk aktiviti perdagangan berdasarkan penemuan beberapa keping duit syiling lama.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDARAYA MELAKA - Melaka mencatatkan ketibaan pelancong melebihi 130.28 juta dalam tempoh antara 1999 dan 2016, dengan pelancong domestik menjadi kumpulan teramai yang mengunjungi negeri ini.
  • IPOH - Kerajaan negeri tidak menafikan pewartaan mukim Matang sebagai kawasan dijangkiti wabak rabies memberi kesan kepada kedatangan pelancong khususnya di Kuala Sepetang.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.