PORT DICKSON - Masalah vandalisme di daerah ini kian meruncing bagaikan tidak dapat dibendung lagi dan yang terkini kawasan rekreasi dan pelancongan di Pulau Cahaya Negeri (PCN) pula menjadi mangsa.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, PCN baru dibuka kepada orang ramai tidak sampai sebulan selepas lokasi itu ditutup selama setahun untuk memberi laluan kepada kerja naik taraf membabitkan peruntukan berjumlah RM2.7 juta.

Menurutnya, dalam tempoh sebulan itu, MPPD telah mengesan beberapa kerosakan disebabkan vandalisme.

“Tindakan itu menyebabkan MPPD terpaksa menanggung rugi kos penyelenggaraan PCN untuk memastikan kawasan pelancongan itu sentiasa ceria, cantik, selamat dan selesa dikunjungi orang ramai.

“Selain PCN, semua kawasan awam di bawah penyelenggaraan MPPD didapati tidak terlepas daripada vandalisme, tahun lalu sahaja, MPPD terpaksa mengeluarkan belanja lebih RM500,000 untuk kos membaik pulih sahaja,” katanya.

Ab Khalid berkata, dalam usaha mengurangkan kesan vandalisme, MPPD mengambil pendekatan membina atau menyediakan kemudahan anti vandalisme.

“Contohnya, lampu terpaksa dibina dengan tiang lebih tinggi bagi memastikan tidak mudah dicapai atau dirosakkan, begitu juga dengan kemudahan bangku dibina dengan binaan konkrit agar lebih kukuh.

“Walaupun reka bentuk seperti itu mungkin kurang cantik namun kita terpaksa ambil inisiatif seperti itu bagi memastikan kemudahan yang disediakan untuk kegunaan orang ramai kekal dan tidak menjadi mangsa vandalisme,” katanya.

Ab Khalid memberitahu, pengunjung yang melancong ke daerah ini boleh sama-sama memainkan peranan membanteras kegiatan berkenaan.

“Jika ternampak individu tidak bertanggungjawab buat jenayah vandalisme, laporkan kepada pihak berkuasa ataupun MPPD... paling mudah adalah rakam atau ambil gambar kegiatan berkenaan, kemudian serahkan kepada MPPD melalui laman sosial rasmi MPPD, emel dan sebagainya.

“MPPD yakin, pendidikan melalui masyarakat kepada masyarakat sedikit sebanyak mampu memberi rasa tidak selesa atau takut individu tidak bertanggungjawab untuk melakukan kegiatan vandalisme,” katanya.

Tambahnya, PCN mula dibuka sejak sebulan lalu namun beberapa kerja pengubah suaian dan projek tambahan masih dilaksanakan di kawasan berkenaan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RAUB - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Gali berhasrat untuk mewujudkan satu pusat rekreasi berkonsepkan taman air di Sungai Kuala Gali.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.