SEREMBAN – Projek perumahan generasi baharu felda di Pasoh 1 dan Pasir Besar akan diserahkan kepada pemilik pada suku pertama tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, dua projek perumahan itu termasuk 1,833 rumah generasi baharu felda yang sedang dalam pembinaan di lapan kawasan di negeri ini.

Projek di bawah anak syarikat Felda iaitu Perumahan Felda Sdn Bhd itu membabitkan lapan kawasan iaitu Felda Pasoh 1, Pasir Besar, Bukit Jalor, Bukit Rokan Utara, Palong 8/9, Palong 12, palong 16 dan Pasoh 2 dan 3.

“Sebanyak 144 unit rumah di Felda Pasoh 1 dan 120 unit rumah di Felda Pasir Besar kini dalam 92 peratus siap sebelum kita serahkan kepada pemilik pada suku pertama tahun depan.

“Manakala 150 unit rumah di Felda Palong 12 dijangka siap pada suku kedua tahun depan dan lima kawasan felda selebihnya itu akan siap pada 2017,” katanya dalam sidang media di bilik tetamu, Wisma Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada.

Menurutnya, pemilihan peserta layak perlu dilakukan segera kerana proses pemilihan akan memakan masa untuk memastikan pemohon menepati syarat ditetapkan.

“Banyak proses untuk memilih peserta yang layak dan kita bimbang jika pemilihan lambat dilakukan akan menyebabkan rumah rosak dan berlaku vandalisme.

“Antara syaratnya pemohon mestilah anak peneroka yang sudah berkahwin dan bermastautin di tanah rancangan, anak peneroka yang bekerja di luar tetapi tinggal di tanah rancangan dan anak peneroka yang tinggal menyewa di luar dan pendapatan bulanan kurang RM2,500,” katanya.

Jalaluddin berkata, dua projek di Felda Bukit Jalor dan Felda Rokan Utara alami kelewatan berikutan hanya 15 hingga 30 peratus siap.

“Kita cadangkan kepada Felda agar mengambil tindakan terhadap pemaju dua projek ini kerana kelewatannya memberi kesan kepada generasi baru felda.

“Antara punca kelewatan projek ini disebabkan masalah hak milik tanah. Kita juga telah minta kerjasama jabatan dan agensi kerajaan untuk memainkan peranan agar dapat memudahkan proses hak milik supaya masalah kelewatan ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Menurutnya lagi, sebanyak 1,539 unit rumah akan dibina dalam masa terdekat di 16 kawasan felda di negeri ini.

“Anak peneroka yang layak boleh memohon melalui pengerusi rancangan felda masing-masing dan proses pemilihan akan dilakukan pihak pengurusan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARANG - Enam sekeluarga di Kampung Gong Beris, di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian berlaku lebih kurang jam 7.20 pagi, tadi.
  • ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengekalkan penetapan kadar pemilikan hartanah kediaman bagi warga asing pada harga minimum RM1 juta.
  • MUAR - “Saya rasa lega tak perlu lagi nak nyalakan lilin, rumah pun dah ada bekalan elektrik selain cantik, selesa dan selamat,” kata Loh Ah Lek, 78.
  • JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal akhirnya berpeluang menikmati kehidupan lebih selesa apabila menerima rumah baharu di Kampung Baru Sri Aman, di sini.
  • KUANTAN - Bapa kepada lima anak memohon ihsan semua pihak untuk menyediakannya sebuah rumah bagi membolehkan dia dan anak tinggal dengan selamat.