AYER KEROH - “Saya terdesak tuan, saya dah minta kerja di kilang tetapi mereka tidak mahu ambil kerana faktor usia," kata Mohd Zahar Basiron, 43, yang dijatuhi hukuman penjara 3 tahun 6 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Beliau menerima hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba merompak sebuah kedai runcit, bulan lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Zahar didakwa cuba melakukan rompakan ke atas kedai milik Lim Terk Loong, 29, di kedai runcit Star Biz Mini Market di Jalan Rambai Jaya 2, Taman Rambai Jaya, kira-kira 8.30 malam pada 6 Mac lalu.

Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon supaya dikenakan hukuman ringan terhadapnya yang tidak mempunyai pekerjaan dan perlu menyara dua anak, selain isteri dan ibu.

"Sewa rumah pula sudah empat bulan tertunggak. Isteri saya kena tanggung dua anak, salah seorang kurang upaya (OKU) dan ibu saya berusia 70 tahun. Saya benar-benar insaf dan berjanji tidak akan ulang kesalahan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes meminta tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran dan tidak mengulangi kesalahan sama.

“Walaupun disebabkan desakan hidup, tindakan dilakukan tertuduh itu salah. Tambahan pula tertuduh menggunakan parang yang bukan hanya mengundang bahaya kepada pemilik kedai tetapi juga pelanggannya,” katanya.

Selepas meneliti fakta kes, mendengar rayuan tertuduh dan faktor pemberat oleh pihak pendakwaan, Mohd Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman dipenjara tiga tahun enam bulan dari tarikh ditangkap pada 28 Mac lalu.

Beliau turut memerintahkan tertuduh membayar denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LIPIS - Akibat memandang remeh dan gagal melaporkan diri di balai polis semasa dalam tempoh pengawasan, lima lelaki dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Majistret Lipis di sini, semalam.
  • ALOR SETAR - Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 masing-masing oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dua tahun lepas.
  • JERANTUT - Seramai 20 Orang Kena Pengawasan (OKP) terlibat dalam Program Orientasi OKP anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Jerantut, di Klinik Daerah Jerantut, minggu lalu.
  • KOTA BHARU - Tempoh penjara seorang tukang mozek kerana kesalahan rogol seorang remaja bawah umur dikurangkan dari 15 tahun kepada 11 tahun di mahkamah tinggi, di sini, semalam.
  • KOTA BHARU - Padah tiga kali menipu dua individu, seorang jurujual wanita dihukum penjara empat tahun setengah oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.