MELAKA - Kerajaan negeri Melaka akan menilai semula permohonan sedia ada program 'My Beautiful New Home' bagi memastikan permohonan itu diproses secara adil.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, terdapat banyak kelemahan dalam proses permohonan program berkenaan yang dilakukan sebelum ini termasuk tidak mematuhi aspek garis panduan pemilihan yang ditetapkan Kementerian Kewangan.

"Kita telah mengarahkan Lembaga Perumahan Melaka membuka semula permohonan 'My Beautiful New Home' kepada orang ramai dan permohonan sedia ada akan dinilai semula.

"Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa hanya mereka yang benar-benar layak dan mematuhi syarat yang ditetapkan akan diberi peluang memiliki rumah tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi program 'My Beautiful New Home' di negeri itu, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.3 juta untuk pembinaan sebanyak 50 unit rumah di atas tanah berkeluasan 2.3 hektar di Mukim Lipat Kajang di daerah Jasin di sini.

Katanya, pembinaan rumah untuk golongan sasaran B40 yang berpendapatan RM3,000 ke bawah di tanah milik kerajaan itu kini mencapai tahap 92 peratus.

Adly berkata, harga rumah jenis setingkat berkeluasan 750 kaki persegi, mempunyai 3 bilik, satu bilik air dan satu tandas yang ditawarkan di bawah program itu ialah RM40,000 seunit dan kerajaan akan membiayai separuh daripada jumlah berkenaan sementara separuh lagi akan dibiayai menerusi pinjaman Bank Simpanan Nasional.

Beliau berkata, peserta program perlu menjelaskan bayaran sewaan secara bulanan kepada kerajaan dalam tempoh masa tertentu sebelum rumah berkenaan dipindah milik kepada mereka.

Katanya, pembinaan rumah berkenaan melibatkan penggunaan tenaga pelajar dari institusi pengajian tinggi dalam bidang berkaitan termasuk Institut Kemahiran Belia dan Politeknik bagi meminimumkan kos pembinaan.

"Kerajaan PH Melaka komited dengan janji menyediakan keperluan asas rakyat khususnya rumah kediaman dan pelbagai usaha giat dilakukan melalui agensi kerajaan khususnya Lembaga Perumahan Melaka dan pihak swasta bagi menyediakan rumah kos rendah dan rumah mampu milik kepada rakyat negeri ini," katanya. - Bernamamns) Permohonan 'My Beautiful New Home' akan dinilai semula.