PERINGGIT - Mogok pemandu bas henti-henti di negeri masuk hari kedua semalam, dan mereka mengang­gap kenaikan RM10 dalam gaji pokok ditawarkan Kerajaan Negeri sebagai penghinaan buat mereka.

Walaupun pada asalnya mereka ditawarkan gaji pokok RM500, namun hasil tinjauan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Terminal Melaka Sentral kelmarin, ia dinaikkan kepada RM510.

Sambil melabelkan kenaikan itu sebagai hinaan, jurucakap bagi semua pemandu bas terbabit, Rosman Wahab, 49, berkata, kenyataan Mohd Ali bahawa mereka boleh memperoleh lebih RM1,000 sebulan selepas dicampurkan bayaran kerja lebih masa dan elaun juga tidak boleh diterima.

Menurutnya, ini kerana pemandu terbabit dikehendaki bekerja selama 12 jam setiap hari, walaupun mengikut undang-undang buruh, mereka hanya dikehendaki bekerja lapan jam sehari.

“Kita bukannya hendak minta banyak, sekadar gaji pokok sebanyak RM850 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian di Terminal Melaka Sentral, di sini, semalam, selepas mengadakan piket aman.


Tak setuju mansuh komisen

Mogok pemandu bas terbabit bermula kelmarin, iaitu hari pertama pengambil­alihan operasi 10 syarikat bas henti-henti oleh anak syarikat kerajaan negeri, PM Cultural and Tourism Sdn Bhd (PMCT).

Mogok itu diadakan berikutan ketidakpuasan hati pemandu yang mendakwa, gaji pokok ditawarkan terlalu rendah berbanding RM2,000 yang diperoleh mereka sebelum ini.

Selain membantah gaji pokok RM510, Rosman berkata, pemandu juga tidak bersetuju dengan cadangan memasukkan komisen lima peratus sebagai sebahagian pendapatan pemandu dan konduktor bas.

Menurutnya, tindakan itu tidak masuk akal kerana ada sebahagian laluan tidak mempunyai ramai penumpang berbanding sesetengah laluan lain.

“Ada sebahagian laluan, mahu dapat RM200 sehari pun susah. Jika komisen lima peratus, bermakna kita hanya dapat RM10 sehari. Jika dibahagi dengan konduktor, maksudnya RM5 sehari. Apa kita hendak buat dengan RM5 sehari?

“Kami mahu supaya kerajaan memansuhkan komisen ini tetapi gantikannya dengan elaun kedatangan, elaun perumahan dan sebagainya. Selain itu, bayaran kerja lebih masa juga mesti dimulakan selepas lapan jam, bukannya 12 jam,” katanya.

Rosman berkata, sebelum pengambilalihan itu, ramai yang mampu beli rumah dan kereta kerana purata pendapatan pemandu adalah RM2,000 ke atas.

“Sekarang hendak beli beca pun belum tentu dapat.

“Justeru, pemandu telah sepakat meneruskan mogok selagi permintaan tidak dipenuhi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERINGGIT - Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) menyahut seruan kerajaan mentransformasi persatuan berkenaan selari dengan inspirasi perdana menteri.
  • PERINGGIT - - Akibat ditinggalkan suami, seorang isteri di Pantai Peringgit di sini terpaksa meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil tanpa sebarang pengawasan di rumah semata-mata untuk keluar bekerja bagi menyara keluarga.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.