PORT DICKSON - Balai cerap di Kompleks Baitul Hilal, Teluk Kemang di sini, membuka peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan gerhana bulan separa pada Isnin ini.

Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Sembilan Shafie Muhammad berkata program tersebut akan berlangsung dari pukul 8 malam.

"Gerhana bulan separa akan dapat dilihat di seluruh negara ketika waktu Maghrib. Di samping itu kita juga akan menganjurkan program solat sunat sempena fenomena gerhana bulan separa pada hari itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Balai cerap di Kompleks Baitul Hilal yang beroperasi sejak Mac lepas itu memiliki teleskop tercanggih di Asia Tenggara serta terbesar di Malaysia bernilai RM1.8 juta.

Shafie turut mempelawa orang ramai menyaksikan fenomena transit planet Zuhrah atau fenomena planet Zuhrah melintasi matahari di balai cerap itu pada 6 Jun, mulai terbit matahari sehingga 12 tengah hari.

Katanya pada hari tersebut, planet Zuhrah berada tepat di antara matahari dan bumi.

"Fenomena ini jarang berlaku. Transit seterusnya hanya akan berlaku 105 tahun akan datang. Oleh itu, orang ramai jangan melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena ini," katanya. - Bernama