ALOR GAJAH - Hasrat seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) untuk menghantar permohonan agar dibenarkan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia menggunakan komputer riba tidak kesampaian apabila ditemui meninggal dunia di dalam kelasnya, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Dol Said, Hazman Shahir Samsul Kamar, 17, ditemui ibunya, Hazlina Hasan, 41, dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas kerusi roda miliknya.

Arwah yang disahkan menghidap ‘Spinal Muscular Atrophy’ sejak lahir pernah dianugerahkan pelajar OKU cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah 2011.

Hazlina berkata, ketika kejadian, dia datang ke sekolah untuk menjemput Hazman dan adiknya seperti biasa.

"Ketika tiba di sekolah, hanya adiknya, Muhammad Azwan Sharif menunggu saya di hadapan sekolah tetapi Hazman tiada.

"Selepas itu, saya mencari Hazman di kelasnya dan terkejut apabila melihat dia sudah kaku di atas kerusi roda dalam keadaan tangan kanannya masih memegang kertas ujian.

"Saya cuba mengejutkan Hazman tetapi tiada maklum balas. Selepas itu, pihak sekolah menghubungi bantuan kecemasan sebelum dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Alor Gajah dan disahkan meninggal dunia ,” katanya.

Rakan arwah, Mohd Haikal Norazlan, 17, berkata, setiap hari dia akan membantu Hazman menyedut kahak menggunakan peralatan khas.

“Tetapi hari ini (kelmarin) saya kurang sihat dan pulang sebaik selesai menduduki ujian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa dilaporkan menghidap penyakit genetik sejak lahir.

“Mangsa dikebumikan di tanah perkuburan Islam Durian Tunggal, semalam,” katanya.