TAMPIN – Seorang remaja perempuan bertindak nekad menanam janinnya di sebuah tanah perkuburan selepas menggugurkan kandungan di kediaman ibu bapanya di Taman Clonlee, di sini.

Menurut sumber. remaja berusia 16 tahun itu dipercayai turut bertindak menaiki motosikal pergi ke kawasan perkuburan di Tampin Tengah yang terletak kira-kira 2 kilometer dari rumahnya untuk menanam janin tersebut, 5 April lalu.

Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar selepas remaja berkenaan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk mendapatkan rawatan sebaik sahaja mengadu sakit perut.

Sinar Harian difahamkan, pelajar tingkatan empat itu terdahulu menerima rawatan awal di Hospital Tampin sebelum dirujuk ke HTJ bagi rawatan lanjut, keesokan harinya.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, hasil pemeriksaan doktor mendapati pelajar berkenaan mengalami kesakitan akibat keguguran lalu keluarganya membuat laporan polis.

"Dia dipercayai menggugurkan kandungan dengan sengaja selepas mengambil ubat gastrik yang dibeli secara atas talian sebelum bertindak menanam janin berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Tampin Tengah.

"Hasil soal siasat, kita menemui janin sebesar duit 50 sen di satu kubur yang ditandakan dengan batu biasa sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Kooi Cheang berkata, susulan itu pihaknya menahan pelajar berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 318 kerana menggugurkan janin yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

"Seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang berusia 18 tahun dipercayai teman lelakinya turut ditangkap Rabu lalu dan ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kooi Cheang berkata, seorang penganggur berusia 18 tahun ditahan polis 19 April lalu, bagi membantu siasatan berhubung kes rogol pelajar berusia 13 tahun di Felda Pasir Besar, di sini.

Menurutnya, laporan polis dibuat ibu mangsa pada 10 April lalu apabila mencurigai perhubungan lelaki berkenaan dengan anaknya sebelum bertindak mendesak anaknya menceritakan hal sebenar.

"Anaknya mengakui telah melakukan hubungan intim di rumah mereka sendiri dan ibunya membuat laporan polis di Balai Polis Gemas sebelum siasatan dilakukan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.