SEREMBAN – Seorang lelaki terselamat walaupun kenderaan yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah bas pekerja di Jalan Labu Nilai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.55 pagi itu, M. Muthukumaran,  26, yang memandu kereta Proton Iswara Aeroback bersama seorang rakan, mengalami kecederaan dari bahagian pinggang ke kaki selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Khairuddin Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.55 pagi berhubung kejadian yang berlaku.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa masih berada dalam kenderaannya kerana tersepit di bahagian tempat pemandu. Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Pihak bomba terpaksa memecahkan pintu kenderaan memandangkan kenderaannya yang telah remuk bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Khairuddin berkata, seramai 23 pekerja kilang yang menaiki bas tersebut tidak mengalami kecederaan serius meskipun bas berkenaan merempuh sebuah kuil yang terletak di selekoh jalan.

"Kemalangan dipercayai berpunca daripada bas pekerja terbabit yang dalam perjalanan dari arah Gadong ke Nilai, bagaimanapun hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan yang dibawa mangsa,” katanya.

Bas pekerja merempuh sebuah kuil yang terletak di selekoh jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, siasatan awal dijalankan pihaknya mendapati, kemalangan dipercayai berlaku semasa bas kilang berkenaan dalam perjalanan dari arah Gadong menghala ke Nilai.

“Tiba di tempat kejadian di Jalan Gadong-Labu, bas kilang itu gagal mengelak ke kanan dan terlanggar kereta yang dipandu mangsa lalu terus memasuki jalan dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, bas kilang berkenaan terbabas ke kanan jalan dan melanggar tembok kuil di bahu kanan jalan menyebabkan kerosakan bahagian depan kuil.

“Pemandu dan penumpang bas kilang bagaimanapun tidak mengalami kecederaan manakala pemandu kereta Proton Iswara Aeroback terbabit dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk rawatan lanjut,” katanya.