JASIN - Aktiviti pemecahan batu kuari dengan melakukan letupan berhampiran Lorong Sabar, Kampung Mantai Tengah, Nyalas, di sini, menimbulkan kebimbangan penduduk sekitar.

Mereka mendakwa aktiviti itu bukan masalah baru, sebaliknya sudah berlarutan sejak empat tahun lalu mengakibatkan tidak kurang enam keluarga yang tinggal sekitar kira-kira 500 meter dari situ, hidup dalam keadaan ketakutan.

Manakan tidak, setiap kali letupan dilakukan, penduduk terasa nyawa terancam umpama sedang berada dalam medan perang.

Penduduk, Idris Sabar, 52, berkata, mereka terpaksa berdepan bahaya setiap hari akibat aktiviti di kawasan kuari berkenaan dan letupan kuat itu amat membimbangkan mereka.

“Letupan yang berlaku awal bulan lalu merupakan paling kuat pernah dilakukan di kawasan kuari itu dan ia membawa kesan paling buruk kepada rumah penduduk.

“Sehinggakan kami yang berada di dalam rumah terasa gegaran kuat dan saya dapati struktur rumah saya mengalami keretakan teruk. Lebih membimbangkan, bukan sekali letupan dibuat, malah sehingga tiga kali dalam sehari,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, semalam.

Menurutnya, sebelum ini, kuari berkenaan sudah ditutup, tetapi sebaik sahaja berpindah ke kawasan itu, ia dibuka semula.

“Sejak kami mula berpindah ke sini, masalah letupan di kawasan kuari mula wujud, namun tiada sebarang tindakan diambil mana-mana pihak untuk menjamin keselamatan kami di sini.

“Kerja-kerja di kawasan kuari dibuat secara berterusan dan mengakibatkan rumah kami retak selain pencemaran kepada persekitaran dan keadaan semakin parah dari sehari ke sehari,” katanya.

Menurutnya, rumah yang didiami mereka itu dibina atas kawasan tanah lot yang terletak berhampiran dengan kawasan perkampungan.

Anak kecil terganggu

Seorang lagi penduduk Nasuruddin Omar,41, berkata, dia begitu bimbang akan keselamatan anak-anaknya yang sering kali ketakutan apabila mendengar bunyi letupan berkenaan lebih-lebih lagi mempunyai anak kecil dan seorang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, sebagai seorang bapa, sudah pasti dia tertekan dan marah melihat keadaan dua anaknya yang berusia sembilan tahun yang OKU dan adiknya berusia setahun menghidap asma hidup dalam keadaan ketakutan.

“Ketika melakukan letupan, pihak berkenaan bersama pakar mereka datang ke kawasan rumah kami, kerana tidak tahan dengan letupan pertama, saya merayu kepada mereka supaya menghentikan segera aktiviti letupan itu, namun mereka tidak peduli sehingga meneruskan letupan ketiga.

“Anak-anak saya akan menangis apabila mendengar bunyi letupan berkenaan dan segera mencari tempat untuk berlindung,” katanya.

Menurutnya, disebabkan tidak tahan dengan keadaan itu, dia dan penduduk di kawasan ini segera membuat laporan di Balai Polis Nyalas, awal Mei lalu.

“Letupan itu telah menyebabkan bahagian atap rumah saya bocor dan debu serta habuk menyebabkan anak saya pernah dimasukkan ke hospital.

“Perkara ini tidak boleh didiamkan dan tindakan segera perlu diambil untuk keselamatan semua penduduk di sini,” katanya.

Rumah merekah

Seorang lagi penduduk, Jusran Mohd Sauh, 41, berkata, gegaran letupan itu akan lebih kuat dirasai sekiranya berada dalam rumah.

“Setiap kali letupan itu berlaku saya akan berada di dalam rumah dan mendengar bunyi rekahan di beberapa bahagian rumah dan tingkap.

“Kami pernah mengadakan pertemuan dengan pihak berkenaan dan mereka berjanji akan mengurangkan bahan yang ingin diletupkan bagi mengurangkan kadar letupan. Namun, ianya tetap sama malah dilakukan beberapa kali dalam sehari,” katanya.

Menurutnya, selain masalah letupan kuari mereka juga berdepan masalah ketiadaan saluran longkang di kawasan berkenaan.