REMBAU – “Saya memang tidak sedap hati apabila lihat cermin belakang, nampak sebuah kereta dipandu laju menghampiri kereta saya," kata, Fazly Azam, 28, ketika menceritakan detik cemas sewaktu ditemui di lokasi kemalangan di Kilometer 32 Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta jenis Proton Saga.

Menurut Fazly, ketika kejadian dia dalam perjalanan ingin menghantar neneknya, Timah Atum, 76, dari Kuala Lumpur ke Rumah Rakyat Astana Raja.

"Tiba-tiba, kenderaan saya naiki dirempuh dengan kuat dan saya serta nenek hanya sempat menjerit 'Allahuakbar' sebelum kenderaan kami berpusing-pusing atas jalan raya." katanya.

Fazly berkata, sejak 10 tahun mendapat lesen memandu, ini kali pertama dia terbabit dalam kemalangan.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, Proton Saga berkenaan dipercayai mengekori terlalu rapat Perodua Alza lalu merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan yang berhenti untuk masuk ke persimpangan kanan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.