MELAKA - Program Sambutan Ambang Tahun Baharu 2015 peringkat negeri Melaka yang dijadualkan berlangsung esok malam di Dataran Sungai Melaka di sini akan dibuat secara sederhana.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, acara detik hitungan tahun baharu 2015 dibatalkan dan hanya persembahan kebudayaan akan diadakan dalam program yang bermula jam 11.20 malam itu.

"Mengambil kira bahawa Melaka adalah sebuah negeri pelancongan, program itu diadakan untuk menyambut kehadiran pelancong di Melaka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Idris berkata, misi mengumpul bantuan untuk mangsa banjir juga akan dilakukan pada sambutan itu dan menyeru orang ramai menyumbang bagi meringankan beban mangsa bencana alam tersebut. - Bernama