SEREMBAN - Sebanyak 213 ekor lembu disediakan pada program Mantai Perdana 2018 yang dijual dengan harga RM27 sekilogram.

Menurut Menteri Besar, Aminuddin Harun, pada tahun ini, program mantai turut diperluaskan ke setiap daerah bagi memberi peluang kepada semua masyarakat merasai kemeriahan mantai ini.

Katanya, tujuan itu juga bagi mengurangkan  perbelanjaan rakyat menjelang Syawal dengan menyediakan pusat sehenti untuk keperluan bahan mentah pada harga yang berpatutan.

“Pada tahun ini kita perluaskan program mantai ke setiap daerah sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan di lokasi utama di sini ( Bekas Tapak Kem Paroi Seremban)

Aminuddin mengagihkan daging kepada orang ramai.

“Kita mahu pastikan semua masyarakat dapat rasa membeli daging dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran semasa antara RM32 ke RM35 sekilgram.

“Kita agihkan daging-daging lembu tersebut ke semua daerah lain dan mereka akan menjual dengan harga yang sama iaitu RM27 sekilogram, tak perlu datang ke Seremban lagi bersesak, boleh beli di daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat  program Mantai Perdana 2018 di Bekas Tapak Kem Paroi, lewat malam tadi.

Hadir sama semua Exco Kerajaan Negeri.

Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu menjadi tradisi sejak lebih 10 tahun lalu, bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah membeli daging pada harga lebih murah berbanding pasaran.