KUALA PILAH - Jika dirungkai peninggalan sejarah di Seri Menanti, masih banyak yang belum diterokai, termasuk penemuan baharu dipercayai makam milik Raja Melewar.

Perlu menyusuri Sungai Kampung Mertang, kedudukan makam berkenaan terletak di tepi sungai itu turut dikatakan bersebelahan dengan orang kanannya yang terletak di dalam satu pagar.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Mohd Rosli Saludin berkata, makam tersebut tidak pernah diangkat untuk pengetahuan umum, berikutan sesetengah pihak beranggapan Raja Melewar dimakamkan di Rembau.

“Bagaimanapun, sebenarnya itu tidak tepat dan makam Raja Melewar yang terdapat di Rembau itu sebenarnya adalah kepunyaan orang kirinya.

“Ini kerana perlu diingat pada zaman kepahlawanan dahulu, setiap pembesar melantik orang kiri dan kanan yang mempunyai mirip wajah yang seakan serupa dengan baginda.

“Ia dilakukan sebagai langkah keselamatan, selain bertujuan mengelirukan musuh,” katanya.

Dr Mohd Rosli berkata, selain kesan peninggalan makam itu, terdapat sebuah rumah Mayang Setiawan dijadikan sebagai rumah hukum atau mahkamah, yang akan diadili pembesar ketika itu.

Menurutnya, walaupun rumahnya sudah tiada tetapi bekas tapak dan sisa kayunya masih lagi tersimpan dengan struktur rumah berkenaan mempunyai 16 tiang, dipercayai dari keturunan Aceh.

“Bersebelahannya pula terdapat sebuah rumah iaitu Telapak Raja Hitam iaitu Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang kedua. Keadaan rumah ini masih lagi utuh.

“Apa yang menariknya, rumah pemimpin dahulu sudah pasti dibina berhampiran sungai dan ini salah satu lambang pembesar dahulu.

“Kedudukan telapak ini adalah berhampiran dengan Bukit Jumbang yang mempunyai tujuh tingkat. Tingkat yang paling bawah dipanggil tingkat Batu Hamparan," katanya.

Ujar Dr Mohd Rosli, dikatakan Raja Melewar pernah berehat di kawasan ini, sebelum sampai di puncak bukit yang dinamakan Puncak Tabal, iaitu tempat anak raja yang berjaya diuji, sebelum ditabalkan menjadi raja.

Menurutnya, bersebelahan dengan Bukit Jumbang pula adalah daerah Rembau, di mana pada waktu dahulu bukit itu turut menjadi laluan dari Seri Menanti ke Rembau.

Temui makam pedagang

Dr Mohd Rosli berkata, beberapa kilometer dari makam Raja Melawar, terdapat sebuah makam lagi dipercayai kepunyaan Megat Seri Rama dan orang Negeri Sembilan menggelarnya sebagai ‘Modek Si Ramo-Ramo’.

“Ada sesetengah pendapat mengatakan tokoh ini mati selepas berlakunya peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

“Sebenarnya, tokoh ini telah menyamar sebagai pedagang dari Hindustan dan telah tiba ke daerah ini melalui Sungai Pahang ke Penarikan, seterusnya ke Pelabuhan Pekan Lama Kuala Pilah dan mereka aktif berdagang.

“Setelah itu mereka naik hingga ke Seri Menanti dan membuat perkampungan di kaki Bukit Jumbang dan mendidik Orang Asal di situ dengan baiknya terutama dari segi adat, budaya dan juga agama. Ia telah mengakhiri hidupnya di situ dan makamnya ada di Lereng Bukit Jumbang,” katanya.

Katanya, di kiri dan kanan menghala ke Bukit Jumbang, terdapat sebuah perkampungan Orang Asli yang masih utuh kesan peninggalan sejarahnya.

“Di sini merupakan sebuah perkampungan yang telah wujud sejak ratusan tahun dahulu. Rumah tradisional Melayu Negeri Sembilan ini dibina dengan berdindingkan kulit kayu sahaja.

“Bentuk rumah ini bukan seperti Minangkabau tetapi tunjak langitnya berbentuk payung dan dayung  melambangkan rumah pembesar dahulu yang sentiasa berdagang. Lambang ini ada berkaitan dengan pedagang dan jawatan Syahbandar,” katanya.

Jelas beliau, semua tinggalan sejarah ini perlu dimurnikan dan diangkat sebagai produk warisan yang bernilai tinggi di daerah ini.

“Selain itu, saya mencadangkan kepada pihak berkaitan agar memasang papan tanda dan diwartakan sebagai salah satu produk pelancongan.

"Kita mahu apa yang berharga di sini dipertontonkan kepada generasi akan datang," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.