KUALA PILAH – Penularan di laman sosial berhubung aduan dan luahan oleh pemilik seekor anjing di Taman Bukit Pilah Perdana, mendakwa Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) telah melupuskan anjing peliharaannya adalah tidak berasas.

Yang Dipertua MDKP, Syahrul Nizam Saleh berkata, pihaknya menyangkal dakwaan tersebut berikutan pengurusan penangkapan anjing itu dilakukan mengikut prosedur serta peraturan yang ditetapkan.

“Pada 10 Oktober (kelmarin) lebih kurang jam 8.20 pagi, MDKP menerima panggilan telefon daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah.

"Mereka memohon bantuan untuk menangkap anjing yang jatuh ke dalam longkang di belakang Dewan Dato’ Bahaman Shamsudin Kuala Pilah. Bomba telah mohon bantuan kerana ketiadaan peralatan yang bersesuaian.

“Justeru, bertindak atas permohonan itu, Ketua Jabatan Penguatkuasaan MDKP mengarahkan anggotanya untuk ke lokasi bagi menguruskan tangkapan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

“Setibanya di lokasi, anggota penguat kuasa mendapati seekor anjing berada di dalam longkang berhampiran tapak semaian MDKP di Taman Bukit Pilah Perdana,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Syahrul Nizam, tiada sebarang lencana lesen dipakaikan pada mana-mana anggota anjing tersebut ketika ia ditemui pihak penguat kuasa MDKP.

Ketika itu, kata beliau, terdapat seorang wanita India memberitahu, anjing berkenaan telah berada di dalam longkang selama lima hari dan tiada pemilik.

“Setelah proses penangkapan dilakukan, haiwan itu telah dibawa ke kawasan tapak semaian untuk dilupuskan secara kaedah  suntikan.

“Ketika anggota penguat kuasa ingin melaksanakan proses pelupusan melalui kaedah suntikan, datang seorang wanita berbangsa India memaklumkan bahawa anjing tersebut adalah kepunyaannya.

“Bagaimanapun wanita tersebut gagal membuktikan anjing tersebut miliknya dan pelupusan haiwan berkenaan  tetap dilakukan mengikut peraturan,” katanya.

Jelasnya, tindakan diambil anggota penguat kuasa MDKP berdasarkan peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) perlesenan anjing MDKP 1991.

“Berdasarkan Undang-Undang Kecil 3 (1), menyatakan bahawa mana-mana anjing yang disimpan di dalam kawasan hendaklah mendapatkan lesen daripada Yang Dipertua MDKP," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.