TAMPIN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan  telah mengambil tindakan ke atas isu viral dalam laman sosial facebook berhubung harga nenas di sebuah pasaraya di daerah ini.

Isu berkenaan diviralkan oleh seorang pengguna sejak petang Jumaat lalu dan mendapat pelbagai reaksi dari netizen.

Menurut Pengarah KPDNKK Negeri Sembilan, Ain ArjunaAziz Zaman, Isnin lalu pihaknya telah membuat siasatan aduan di pasaraya yang dinyatakan dalam viral berkenaan.

“Pegawai kita telah turun padang ke lokasi yang dinyatakan dan mendapati terdapat tiga jenis nenas dan harga yang dipaparkan iaitu nenas jenis Morris, Josapine dan Sarawak.

“Isu harga nenas menjadi viral apabila terdapat nenas jenis Sarawak dalam longgokan nenas jenis Morris, yang mana harga nenas Sarawak adalah lebih mahal berbanding nenas Morris dan Josapine,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, tadi.

Ain berkata, berdasarkan penjelasan pihak pengurusan keadaan berkenaan berlaku apabila terdapat segelintir pelanggan yang memilih dan mencampur adukkan jenis-jenis nenas sehingga kekeliruan terjadi kepada pelanggan lain apabila hendak membeli.

Bagaimanapun menurutnya, KPDNKK telah memberikan teguran dan amaran bertulis kepada pihak pasaraya agar memastikan perkara seperti itu tidak berulang kembali.