TAMPIN – Sebanyak 91 saman dikeluarkan kepada pemilik motosikal dan kereta yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dalam satu operasi khas motosikal oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pekan Tampin, di sini, malam kelmarin.

Operasi bersepadu JPJ negeri yang bermula kira-kira jam 9 malam hingga 11.30 malam itu mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, dalam operasi berkenaan yang dilaksanakan di empat lokasi di sekitar Pekan Tampin, sebanyak 14 motosikal dan tiga kereta disita atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh.

“Saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Malah, 18 notis arah periksa dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan terutama membabitkan kesalahan pengubahsuaian kenderaan, tiada cermin sisi dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 11 saman dikeluarkan PDRM sempena operasi berkenaan.

Saiful Azzri berkata, orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan aspek keselamatan sepanjang berada di jalan raya dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan bagi kebaikan bersama.

“Pengguna perlu sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengurangkan risiko berlakunya kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.