MELAKA TENGAH - Sejumlah 23 premis makanan dan minuman di daerah Melaka Tengah telah diarah tutup sementara sepanjang lima bulan tahun ini dalam usaha Jabatan Kesihatan negeri menangani premis yang mengabaikan aspek kebersihan.

Jumlah tersebut antara 731 premis makanan dan minuman yang diperiksa Jabatan Kesihatan negeri dalam tempoh terbabit.

Exco Kesihatan dan Anti-Dadah, Low Chee Leong berkata, tindakan telah diambil terhadap premis terbabit selepas didapati gagal mematuhi peraturan termasuk menjaga kebersihan dan kualiti penyediaan dan pengendalian makanan.

Menurutnya, tindakan yang diambil itu adalah selari di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang memerlukan pengendali dan penyedia makanan memastikan kebersihan makanan dan minuman yang dikendalikan mereka.

“Usaha yang dijalankan jabatan ini adalah tepat untuk memastikan aspek kebersihan dan keselamatan pengendalian dan penyediaan makanan tidak diabaikan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Ini lebih penting memandangkan Melaka destinasi pelancongan popular bukan sahaja dalam kalangan pelancong tempatan, tetapi juga antarabangsa,” katanya di sini.

Sehubungan itu, menurut Chee Leong, Jabatan Kesihatan Melaka akan terus memantau dan memeriksa premis-premis makanan di negeri ini, terutama di kawasan yang popular dalam kalangan pengunjung seperti di Taman Melaka Raya.

Ini kerana, katanya, masih terdapat aduan awam mengenai tahap kebersihan di premis-premis makanan di kawasan terbabit.

“Pada masa sama, orang ramai juga perlu bijak dalam hanya memilih premis yang bersih bagi menjamin keselamatan makanan yang mereka beli,” katanya.

Dalam satu kejadian terbaharu minggu lalu, sebuah restoran asam pedas popular telah diarah tutup selama dua minggu selepas makanan yang disediakan didapati tercemar dengan ulat.

Arahan berkenaan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Melaka ekoran satu video yang tular di media sosial baru-baru ini.