• Dari kiri, Norlela, Awang dan Rogayah menunjukkan kanvas digunakan sebagai dinding di bahagian dapur rumah mereka. Dari kiri, Norlela, Awang dan Rogayah menunjukkan kanvas digunakan sebagai dinding di bahagian dapur rumah mereka.
1 /

JOHOL – Meskipun menghuni rumah yang berdindingkan kanvas dan berlantaikan tanah, namun sebuah keluarga di Kampung Melekai tetap tabah meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan.

Ketua keluarga, Awang Timbul, 47, berkata, mereka sudah tinggal di rumah itu dua tahun lalu selepas berpindah dari rumah pusaka yang usang.

Menurutnya, selepas berpindah, dia mencari kayu terpakai untuk membina sebuah rumah dan kanvas untuk dijadikan dinding di bahagian dapur.

"Bila hujan, saya tidak dapat tidur kerana bimbang kanvas  tidak mampu menahan tiupan angin yang kuat.

“Saya memang tidak mampu membina rumah yang selesa kerana hanya bekerja kampung sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM12 sehari,” katanya.

Awang tinggal di rumah berkenaan bersama isterinya, Rogayah Mohamad Sharif, 46, dan adik iparnya, Norlela, 26.

Awang berkata, rumah itu luas dan hanya mempunyai sebuah bilik sahaja untuk Norlela tidur.

Menurutnya, isterinya pula terpaksa tidur di dapur kerana menghidap penyakit asma kronik dan tidak boleh menaiki tangga.

"Saya pula tidak kisah tidur di mana sahaja. Isteri saya menghidapi pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan batu karang.

"Dia perlu mengambil ubat dan kadangkala terpaksa berulang alik dari Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN) untuk melakukan pemeriksaan darah tinggi. Bila pergi ke HTAN, saya menyewa kereta saudara kerana saya tidak memiliki kenderaan. Motosikal pulla pinjam dari jiran. Kos rawatan pula tinggi kadangkala mencecah RM400,” katanya yang berasal dari Sabah.

Katanya, sebelum ini dia pernah membuat permohonan mendapatkan sebuah rumah baru melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menerusi ketua kampung tetapi sehingga kinibelum ada maklum balas.

“Saya sudah mohon PPRT tetapi ada pihak yang datang ke rumah hanya mampu membaiki rumah sahaja. Mereka ada datang mengukur bahagian dapur tetapi sehingga kini tiada apa-apa tindakan.

"Tapak rumah yang didiami sekarang milik isteri dan berharap dapat dibina rumah PPRT di sini," katanya.