• Wayar tiang elektrik berserabut di hadapan rumah Rajumah. Wayar tiang elektrik berserabut di hadapan rumah Rajumah.
1 /

KUALA PILAH – Masalah gangguan bekalan elektrik yang kerap terputus sejak empat bulan lalu menyukarkan kehidupan penduduk Kampung Kepis Hilir yang mahu perkara itu diatasi dengan segera.

Penduduk, Rajumah Akhir, 62, berkata, dia bimbang gangguan bekalan elektrik berlaku hampir setiap hari.

“Makcik sudahlah tinggal seorang diri. Kadang-kadang tengah makan, lampu yang dipasang tiba-tiba terpadam. Terpaksalah gunakan lilin.

“Gangguan bekalan ini biasa berlaku pada waktu senja dan malam di mana ketika itu penggunaan elektrik meningkat.

“Kalau ada lampu yang menyala pun, keadaannya berkelip-kelip seperti tak cukup bekalan elektrik,” katanya.

Rajumah mendakwa, gangguan ini berpunca daripada kabel elektrik di hadapan rumahnya yang pernah terputus berikutan dihempap pokok.

“Kejadian itu sudah lama, makcik pun tak berapa ingat. Kemudian, pihak berkaitan telah datang baiki kerosakan, namun gangguan bekalan elektrik tetap berlaku,” katanya.

Pengalaman sama turut disuarakan penduduk, Amran Tahir, 43. Kata Amran, lima biji lampu rumahnya telah terbakar berikutan sering berlaku gangguan bekalan elektrik.

“Gangguan bekalan elektrik berlaku di bahagian dapur, tapi di tangga rumah saya ada lampu. Kemungkinan perkara ini disebabkan bekalan elektrik tidak mencukupi dan kerana itu lampu sering berkelip-kelip.

“Penduduk memang sering mengadu hal ini. Bila bertemu sahaja, pasti ada yang tanya, rumah ada bekalan elektrik tak?

“Sangat berharap, pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Seorang penduduk dikenali sebagai Man Bongai, 33, turut menyatakan perkara yang sama.

Katanya, berikutan bekalan elektrik yang sering terganggu menyebabkan sebuah peti aisnya terbakar.

“Perkara ini berlaku sudah lama. Bila elektrik tiada seketika, kemudian secara tiba-tiba bekalan elektrik yang dialirkan tinggi menyebabkan motor peti ais saya terbakar.

“Aliran bekalan elektrik tidak menentu. Kadang-kadang arus elektrik yang diterima tinggi, lampu pun terang dan ada kalanya, malap dan berkelip-kelip. Saya rasa lebih dari 10 rumah mengalami masalah yang sama seperti saya,” katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah memaklumkan perkara ini kepada pihak berkaitan, namun tiada sebarang tindakan diambil.

“Kami bukan apa, bimbang berlaku kebakaran yang melibatkan rumah. Kawasan ini terdapat warga emas yang tinggal seorang diri. Jadi saya harap sangat pihak berkaitan dapat memberi perhatian kepada masalah kami,” katanya.