SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan membayangkan untuk mewujudkan satu bandar peranginan baharu di Port Dickson yang bakal menjadi ‘Little Venice of Negeri Sembilan’.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau menjangkakan impian itu dapat direalisasikan dalam tempoh 29 tahun akan datang iaitu menjelang tahun 2045.

“Saya rancang untuk buat satu pembangunan yang amat pesat dan besar di Port Dickson, ia bukannya untuk saya, tapi untuk anak-anak dan generasi akan datang.

“Perkara itu telah saya rancang dengan teliti bermula sekarang di mana tanah telah dirizabkan untuk tujuan itu, di bawah Dasar Pembangunan dan Pemodenan 30 tahun di Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Wisma Theatrette di sini, semalam.

Selain itu, menurutnya, sebanyak 1,000 hektar tanah di kawasan Bukit Galla, Seremban pula telah digazetkan sebagai kawasan hijau atau ‘Green Area’.

Beliau bagaimanapun mengharapkan pembangunan pesat di negeri ini yang bakal menyediakan pelbagai peluang pekerjaan bukannya dipenuhi oleh warga asing, sebaliknya diisi oleh anak tempatan.

Katanya, golongan muda perlu menyiapkan diri bermula daripada sekarang dengan berusaha memperoleh kecemerlangan dalam pendidikan dan memajukan diri.

“Saya tidak mahu pula menjelang tahun 2045, Negeri Sembilan ini dipenuhi dengan warga asing, saya nak kerja-kerja di sini dipenuhi oleh anak tempatan.

“Tapi janganlah pula anak tempatan malas atau ambil sikap sambil lewa, tetapi perlu  maju dalam hidup,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan beliau turut menyampaikan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM9.8 juta.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli  dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Rusni Ab Jalil.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORT DICKSON - Port Dickson terus menjadi destinasi utama pelancongan negara apabila mencatatkan jumlah peningkatan kehadiran pelancong sebanyak 4.2 juta tahun lalu berbanding 2015.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.