REMBAU – “Abang sayang ayang sampai mati." Itulah kata-kata penuh makna yang sempat ditulis Ariffin Ham­zah, 31, atas sekeping kad sempena ulang tahun kedua per­kahwinannya dengan isteri, Haliza Hashim, 28, malam kelmarin.

Ariffin bagaimanapun maut selepas ken­deraan jenis Perodua Myvi yang dipandunya terbabas ke kiri jalan lalu merempuh pengadang jalan sebelum ter­junam ke dalam gaung se­dalam enam meter dipercayai selepas mengelak sesuatu kira-kira 7.10 pagi, semalam.

Kakak ipar mangsa, Nor Mini Mad Som, 32, berkata, dia sempat bertemu dengan adik iparnya itu Ahad lalu di rumah ibu mertuanya, Zainon Ismail, 59, di Taboh Naning, Alor Gajah.

“Arwah balik kerja awal hari itu (Ahad) sekitar 5 petang dan saya juga sempat me­negurnya yang kelihatan ber­sungguh-sungguh mem­basuh keretanya. Arwah kata dia ingin membawa pulang isteri dan anaknya, Izqarin Wafi Arifin, 9 bulan, ke kampung (Tabong Naning) Jumaat ini bagi meraikan ulang tahun kedua perkahwinan mereka,” katanya ketika ditemui di per­karangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), di sini semalam.

Menurutnya, dia dan suami, Hafizan Hamzah, 32, sudah mula berasa tidak sedap hati kerana kebiasaannya adiknya akan singgah ke rumah mereka di Krubong semasa waktu rehat atau habis kerja di sebuah kilang di Alor Gajah.

“Seminggu terakhir ini, arwah langsung tidak singgah ke rumah saya. Bagaimanapun, Ahad lalu semasa berkumpul di rumah ibu mentua, arwah ada berpesan kepada saya supaya terus menjaga dan membawa ibu mentua tinggal bersama kami. Malah, sebelum bergerak pulang Ahad lalu, arwah sempat menyatakan keinginan dan rasa tidak sabarnya untuk membeli kad ulang tahun perkahwinan buat isterinya di Tampin sebelum terus pulang ke Senawang,” katanya.

Ibu mangsa, Zainon berkata, anak keempatnya itu sering pulang ke rumah dan sememangnya rapat bersama adik-beradik lain. Malah, dalam seminggu pasti ada dua hari anaknya akan tidur di rumah.

“Namun, seminggu terakhir ini, arwah tidak seperti biasa dan terus berulang alik pulang ke Senawang. Hanya hari Ahad sahaja arwah balik ke rumah dan berjanji kepada saya untuk bermalam di rumah seperti biasa pada Selasa (semalam) dan Rabu (hari ini).

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila mangsa cuba mengelak sesuatu objek di hadapannya sebelum terbabas ke kiri jalan di Kilometer 242.3, Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), pagi semalam.

Menurutnya, terdapat gaung yang lebih dalam di lokasi kejadian, namun ken­deraan mangsa tersangkut di atas pokok. Mangsa meng­alami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.Mayat mangsa dihantar ke HT untuk proses bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning, Alor Gajah.

Berikutan kemalangan itu, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dan Rembau dikejarkan ke lokasi kejadian diketuai Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Ibrahim Salleh.

Katanya, dengan anggota seramai 12 orang, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian hadapan tempat duduk pemandu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • REMBAU - 'Uwan menangis bila tengok tempat masak hampir roboh," luah Johari Mohamad Amin, 76 yang bimbang apabila tebing sungai di belakang rumahnya di Kampung Kota Pekan, di sini runtuh dan menyebabkan bangsal dapurnya berisiko dihanyutkan arus deras.
  • REMBAU - “Saya hisap dadah untuk rileks saja. Dah ada niat nak berhenti tapi tak sangka pula ujian urin saya sangkut hari ni,” kata kelindan lori berusia awal 20-an yang ditahan dalam Ops Bersepadu Serkap (Lebuh raya) di Hentian Sebelah Pedas Linggi Arah Utara, di sini, malam kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.