KOTA BHARU – “Makan tidur, makan tidur. Lepas tu pukul saya.”

Itu luahan seorang isteri ketika memberi keterangan impak di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Dalam keterangannya itu, Wan Nor Hafiza Wan Ahmad, 30, turut memberitahu mahkamah, kejadian pukul tersebut bukan kali pertama dilakukan tertuduh, malah dia sudah sering menjadi mangsa lelaki terbabit.

“Saya seorang sahaja yang bekerja (penyambut tetamu), dia pula curi barang kemas, ambil duit saya. Saya minta dia dihukum penjara dua tahun dan selepas ini minta dia jangan datang cari saya serta anak kami lagi,” katanya.

Majistret, Nik Habri Muhammad kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Mohammad Syahrill Mohammad, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Wan Nor Hafiza di kedua-dua lengan dan mencekik mangsa di sebuah rumah di Jalan Kemboja, Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 8 pagi, 10 April lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Mohamad Marzuki Omar, manakala tertuduh diwakili peguam awam.

Kejadian berpunca selepas tertuduh berang apabila mangsa menemui kawan tertuduh untuk bertanyakan barang kemas mangsa yang hilang dalam simpanan.

Barang kemas mangsa dipercayai dicuri oleh tertuduh sendiri dan dijual kepada rakannya. Sejak itu, mangsa sering dipukul tertuduh dan duitnya pula diambil tanpa pengetahuan mangsa.

Nik Habri dalam keputusannya menasihatkan tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan itu supaya mengambil pengajaran dan menginsafi kesalahan yang dilakukan.

“Saya tidak menyebelahi sesiapa, namun menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi mangsa. Di rumah kamu boleh jadi hero, tapi tidak di mahkamah saya.

“Perbalahan suami isteri adalah perkara biasa, tetapi apabila sudah sampai ke mahkamah akan menjadi sesuatu yang serius,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Tindakan 27 nelayan asing warga Vietnam termasuk seorang tekong yang menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara pada awal bulan lalu menerima membawa padah apabila dikenakan hukuman denda berjumlah RM15,000 hingga RM20,000 di mahkamah sesyen di sini, semalam.
  • KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang buruh kerana menyimpan harta curi.
  • IPOH - Seorang anggota polis berpangkat koperal dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah tiga tahun lepas.
  • KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri yang juga pemilik syarikat menjual telefon bimbit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menipu berhubung urusan jual beli telefon bimbit melibatkan nilai lebih RM900,000, tahun lepas.
  • SEREMBAN - Seorang wanita dikenakan denda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah membantu menyembunyikan wang milik individu lain pada 29 Ogos lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.