KOTA BAHARU - Papan tanda Projek Perumahan Rakyat  (PPR)  Tan Sri Fatmi di Wakaf Mek Zainab, disini disita oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam  (MPKB-BRI) dua jam setelah dinaikkan oleh kontraktor, semalam.

Kesal dengan tindakan itu, Ketua Umno Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh mempersoalkan langkah pihak berkuasa tempatan yang dilihat tergesa-gesa menyita papan tanda itu tanpa sebarang notis dikeluarkan.

Beliau berkata, penggunaan namanya itu sudah mendapat kelulusan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan sepatutnya pihak berkuasa mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

“Persoalannya, mengapa serta merta tindakan diambil, siap petang dan terus sita, kenapa tergesa-gesa nak berhenti kerja-kerja tanpa sebarang notis.

"sepatutnya, hantar notis dan bagi tahu kesalahan apa,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Projek perumahan yang memuatkan 1000 unit itu sudah memasuki fasa 95 peratus dan dijual dengan harga RM35,000 setelah diberi subsidi sebanyak RM155,000 oleh kerajaan pusat.

Fatmi percaya tindakan  tergesa-gesa itu dibuat kerana bermotifkan politik khususnya di ambang PRU14.

“Dulu sebelum pembinaan, kita nak dapat kelulusan MPKB juga begitu sukar dan terpaksa keluarkan belanja tambahan untuk buat jalan sebelum mereka memberi kelulusan, Ini projek rakyat, kenapa mereka dengki sangat,“ katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut menempelak sikap wakil rakyat Kota Bharu yang tidak memainkan peranan dalam memudahkan urusan dalam merealisasikan pembangunan ini.

Fatmi juga mendakwa tindakan menghalang penggunaan namanya itu bagi mengelak  tanggapan orang ramai bahawa projek itu dibina daripada kerajaan pusat.

“Kerajaan Pas juga mengedar borang perumahan mampu milik, tetapi di Kota Bharu tidak ada projek, mereka berkuasa untuk beri perumahan ini juga itu tanggapan, bila letak nama (Tan Sri Fatmi)  sekali gus tak boleh nak berselindung, ini projek bawah pusat,” katanya.