RANTAU PANJANG - Beberapa kemudahan akan disediakan di Bazar Siti Fatimah bagi menarik kehadiran pengguna di masa depan.

Adun Gual Periok, Mohamad Awang berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) bagi menjaga kebajikan peniaga antaranya membina pintu gerbang ke pasar baharu Rantau Panjang.

“Pintu gerbang ini akan menarik lebih ramai pengunjung yang mungkin tidak menyedari kewujudan pasar baharu selepas pasar lama dirobohkan, pada 2015 lalu.

“Saya sedar berlaku persaingan dengan peniaga di bazar swasta namun promosi dan usaha lain akan dilakukan dengan segera,” katanya.

Berhubung kadar sewa Mohamad berkata, kadar sewa di aras atas diberi potongan sebanyak RM 30 bagi mengurangkan beban peniaga di sini.

Kadar potongan yang dikuat kuasa sejak beberapa bulan lalu ini juga katanya, merupakan salah satu promosi kepada peniaga baharu yang mungkin berminat untuk menceburi bidang perniagaan.

Mohamad berharap, peniaga di sini bersabar kerana masalah kekurangan kehadiran bukan sahaja membabitkan kawasan beli belah di Rantau Panjang sebaliknya bersifat global.

Menurutnya, kuasa beli di kalangan pengguna semakin berkurangan ekoran kenaikan harga barang dan pelbagai faktor.

“Penduduk tempatan lebih banyak menyimpan dan hanya beli barang keperluan sahaja, sebab itulah Zon Bebas Cukai dipenuhi pelancong luar negeri setiap Jumaat hingga Ahad,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MDPM, Muhamad Zaidi Mat Jusoh mengesahkan ada menerima surat daripada persatuan  peniaga bazar Siti Fatimah dan perkara tersebut masih dalam semakan.

“Berkaitan isu kadar sewa, sebelum ini MDPM ada menerima permohonan peniaga dan menurunkan kadar sewa tapi perbincangan serta siasatan perlu dibuat sebelum sebarang keputusan diambil.

“Buat masa ini, kami cuba menaikkan imej Zon Bebas Cukai Rantau Panjang menerusi pelbagai program baharu sekaligus menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negeri,” katanya.