MACHANG - Polis meminta kerjasama orang ramai membantu mengesan seorang lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes melibatkan kecederaan di tepi Jalan Bukit Baka, dekat sini pada Ahad lalu.

Aiqil Filqiram Md Salleh, 21  dikenali sebagai Aiki dikehendaki bagi membantu siasatan  apabila  didakwa memukul seorang lelaki  sehingga mendatangkan kecederaan dengan menggunakan  rantai besi motosikal.

Ketua Polis Daerah Machang,  Dzulkifli Abdul Ghani berkata, pada kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari itu, suspek dikatakan memukul seorang lelaki secara tiba-tiba ketika lelaki tersebut sedang bercakap dengan kawannya di tempat kejadian.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan  kerana mendatangan kecederaan.

Tambahnya,  pihaknya gagal mengesan lelaki terbabit berdasarkan alamat terakhirnya di Kampung Ayer Merah, dekat sini.

"Kita berharap lelaki terbabit segera tampil bagi membantu siasatan dan ahli keluarga atau mana-mana individu yang mengenali lelaki terbabit diharapkan boleh membantu menyalurkan maklumat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan (ASP),  Mohd Firdaus Mohd di talian 013-9818535 bagi membantu siasatan," katanya.