GUA MUSANG - Penjenayah yang sedang diburu polis tidak akan terlepas walaupun mereka melarikan diri ke luar negara, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata polis  mempunyai strategi yang kemas bagi memburu penjenayah terbabit selain nama mereka kini di dalam ‘tangan polis’.

“Memang ada penjenayah yang dikehendaki itu kini dalam kepanasan selepas mengetahui mereka sedang diburu sekarang ini. Kita akan serbu mana-mana lokasi tempat mereka bersembunyi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Angkat Amanita Peringkat Kontinjen Kelantan di Taman Kesedar Jaya di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman mendedahkan seramai 13 suspek yang terbabit kes jenayah berat adalah antara 800 orang yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes jenayah seperti bunuh, culik dan mendatangkan kecederaan.

Mengulas lanjut Hasanuddin berkata  kes berkaitan dadah juga diletakkan sebagai sasaran utama untuk dibanteras oleh polis.

Katanya beliau telah mengeluarkan arahan kepada pegawai dan anggota di semua peringkat untuk membanteras gejala dadah sehingga ke akar umbi.

Sehubungan itu, beliau mahu ibu bapa, pemimpin masyarakat dan rakyat keseluruhannya agar turut sama membantu pihak berkuasa membanteras gejala dadah. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.