RANTAU PANJANG - Belum reda isu agihan tanah Felcra Bukit Tandak, 348 peserta tanah rancangan berdepan dengan isu baharu apabila pokok getah di tanah rancangan yang diusahakan sejak puluhan tahun lalu akan ditebang, bulan depan.

Ketua peserta Felcra Bukit Tandak, Mat Inun Mat Jusoh berkata, peserta terkejut selepas menerima surat daripada kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, dua minggu lalu.

Menurutnya yang juga ahli jawatan kuasa kes pengambilan tanah rancangan, peserta rasa teraniaya kerana kerajaan mahu meneruskan projek penebangan pokok membabitkan 832.8 hektar tanah, biarpun kes agihan tanah rancangan masih dalam perbicaraan.

"Kami usahakan tanah ini sehingga mampu memberi nafkah kepada anak-anak, sekarang kerajaan nak tebang," katanya selepas menyertai bantahan aman di ladang getah Bukit Tandak, di sini, hari ini.

Hadir sama Penguam peserta, Mohd Nasir Abdullah.

Sementara itu, peserta, Azizah Abdullah, 61, berkata, tiada sebab pokok getah ditebang kerana ia masih mengeluarkan hasil malah kerja-kerja menoreh masih giat dijalankan.

"Tak boleh jadikan alasan getah murah atau kayu mahal, sebab kalau tebang pokok, habislah punca pendapatan kami.

"Kami tidak akan diam dan akan berjuang untuk dapatkan semula hak kami," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kemelut tanah yang membelenggu peserta ladang dengan kerajaan negeri, berlanjutan sejak 1984.

Peneroka mendakwa kerajaan negeri menukar inisiatif pemilikan tanah baharu daripada enam ekar setiap seorang kepada tiga ekar sahaja.

Ini memaksa peserta membawa perkara ini ke mahkamah dan memutuskan agar kerajaan negeri mengotakan kata sepertimana perjanjian asal pada 1984 lalu.

Bagaimanapun, isu itu berpihak kepada kerajaan negeri apabila mahkamah memutuskan untuk mengekalkan inisiatif pemilikan tanah baharu sebanyak tiga ekar.