BATU KARANG – Tindakan pantas seorang pemandu bas menggunakan pemadam api, berjaya mengelak api merebak ke bahagian hadapan bas, hari ini.

Pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Zul berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah ketika dalam perjalanan dari Kubang Kerian ke Rantau Panjang.

Setibanya di Simpang Tiga, Jalan Pengkalan Pangkalan Rakit, Zul berkata, dia mendapati tayar belakang, pancit.

“Saya terus berhenti di tepi jalan, sebab nak tengok keadaan tayar tapi rupa-rupanya api dah mula merebak.

“Saya terus ambil pemadam api, sementara menunggu kedatangan anggota bomba,” katanya.

Zul berkata, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku kerana tiada penumpang berada dalam bas berkenaan.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Kanan Bomba (PBK) ll, Halim Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.19 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki satu jentera.

Setibanya di tempat kejadian, beliau mendapati bahagian belakang bas terbakar dan mula marak ke bahagian depan.

“Saya bersama empat anggota lain bertindak untuk memadamkan api dengan menggunakan aliran air dari tangki pam jentera.

Selepas memastikan tiada bahaya lain yang boleh mencetuskan kebakaran, operasi ditamatkan sejam kemudian,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa dilapokan dan beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.