PASIR PUTEH - Pengusaha dan pembekal barangan aluminium dan cermin di Kampung Bukit Tanah, Selising dekat sini, mencipta motosikal khusus untuk mengharungi banjir.

Dengan hanya membelanjakan RM500 sahaja, Amin Mohamed, 31, menggunakan imaginasi dan kreativiti tinggi sehingga berjaya menyiapkannya dengan hasil memberangsangkan selepas merancang sejak awal tahun ini.

Menurutnya, motosikal yang menggunakan enjin Honda C70 itu menggunakan satu tayar motosikal di depan dan dua tayar kereta di belakang yang mampu mengharungi banjir sedalam satu meter.

“Saya buat lakaran reka cipta motosikal ini atas kertas Januari lalu dan mula membuatnya sedikit demi sedikit pada waktu terluang.

“Saya hanya guna bahan terbuang dan bahan sedia ada kerana saya perlu elak kos tinggi. Ciptaan ini bukan untuk meraih keuntungan, hanya untuk kepuasan diri,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kenderaan itu belum cukup sempurna kerana penambahbaikan perlu dilakukan bagi membolehkan ia mampu mengharungi air lebih dalam.

“Kalau ikutan, motosikal ini belum siap sepenuhnya tapi saya tak sabar untuk mengujinya bila beberapa kawasan di Selising ini dilanda banjir semalam (kelmarin),” katanya.

Rakaman video dan gambar ‘pandu uji’ di satu lokasi banjir di Selising yang tular di laman sosial sejak kelmarin dikongsi lebih 1,000 orang dalam waktu singkat.

Amin berkata, selepas ciptaannya tular, rumahnya menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat sendiri ciptaannya selain menerima banyak pesanan di akaun Facebook daripada pelbagai pihak yang berminat mengetahuinya dengan lebih lanjut.

“Motosikal istimewa itu bukan saja mampu mengharungi air, malah ia dicipta untuk aksi lasak dengan kesesuaian kepada semua jenis permukaan jalan.

“Saya akan pasang beberapa aksesori selepas ini untuk mencantikkan lagi ciptaan saya serta menambah fungsi sampingan yang difikirkan perlu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :