KOTA BHARU – Permohonan seorang pemilik sebuah tadika elit di negeri ini bagi memfailkan rayuan terhadap perintah membayar ganti rugi RM403,018.74 kepada seorang muridnya yang melecur tertumpah tomyam, ditolak mahkamah tinggi, di sini, hari ini.

Keputusan dibuat Hakim, Ahmad Bache terhadap defendan (pemilik tadika) yang membuat permohonan untuk memfailkan rayuan itu di luar tempoh masa dibenarkan mahkamah.

Dalam kes berkenaan, defendan diwakili peguam, Nor Zaimah Mohamed, manakala kanak-kanak lima tahun tersebut sebagai plaintif diwakili peguam, Shamsul Baharin Abdullah.

Ahmad Bache dalam keputusan itu berkata, pihak defendan dengan sengaja melewat-lewatkan proses untuk memfailkan rayuan tersebut semata-mata bertujuan melengah-lengahkan prosiding mahkamah.

“Mahkamah mendapati tindakan defendan yang memfailkan permohonan lewat 21 hari daripada tempoh sepatutnya permohonan itu difailkan adalah sengaja, sedangkan defendan mempunyai masa yang mencukupi.

“Tambah pula, peguam yang mengendalikan kes pada peringkat perbicaraan sebelum ini adalah peguam yang sama. Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak plaintif bahawa kelewatan tersebut akan memberi kesan yang prejudis terhadap plaintif,” katanya.

Di mahkamah seysen di sini, pada Januari lalu, ibu mangsa, Nur Ashikin Md Ariffin menceritakan kepada mahkamah detik hitam yang menimpa anaknya yang ketika itu berusia tiga tahun, pada 25 Ogos dua tahun lalu.

Pada jam 10 pagi, dia menerima panggilan telefon dari suaminya, Norizal Alim, 33, yang memaklumkan bahawa anak mereka berada di Kota Bharu Medical Centre kerana satu kecemasan.

“Hospital menolak untuk merawat anak saya kerana keadaannya yang kritikal dan memaksa kami menghantarnya ke HUSM. Tiba di HUSM, saya yang baru berkesempatan melihatnya mendapati dia dalam keadaan sangat lemah, berbalut tuala dan melecur teruk di seluruh badan termasuk wajah.

“Dia yang melecur lebih 40 peratus menjalani pembedahan segera dan mendapat rawatan di Unit Kebakaran hospital itu selama seminggu serta masih menerima rawatan susulan bersama pakar,” katanya.

Menurutnya, selain kos rawatan tinggi yang perlu ditanggung sepanjang tempoh itu, anaknya juga perlu memakai baju khas yang ditempah berharga RM160 sepasang. Baju tersebut perlu dibasuh setiap hari bagi mengelakkan jangkitan selain dari perlu diganti setiap bulan kerana mudah terkoyak.

“Paling menyentuh hati, kejadian ini memberi kesan negatif kepada anak saya dan saya dapat lihat dia seolah-olah berasa rendah diri dan murung apabila berdepan dengan rakan sebaya, terutamanya apabila ditanya tentang kesan parut yang ada pada muka serta badannya,” katanya ketika ditemui di mahkamah pada 14 Januari lalu.

Nur Ashikin bertindak memfailkan saman menerusi Tetuan Rozma Baharin & Coselepas bagi menuntut ganti rugi RM500,000 terhadap tadika berkenaan kerana didakwa cuai sehingga plaintif mengalami kecederaan dan menanggung kesakitan berpanjangan.

Pada 29 Mac lalu, mahkamah sesyen, di sini, mengarahkan pemilik tadika berkenaan membayar ganti rugi RM403,018.74 kerana kecuaian mereka hingga mangsa mendapat kecacatan kekal hingga memberi kesan pada kehidupannya.

Dalam kejadian itu seorang lagi kanak-kanak berusia dua tahun turut mengalami nasib sama.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MUADZAM SHAH - Biarpun baru berusia lingkungan empat hingga enam tahun, murid-murid Tadika Kemas Desa Cempaka, di sini, begitu bersemangat menyahut kempen kitar semula.
  • SUNGAI PETANI - Seorang lelaki warga Indonesia yang melecur dalam kebakaran melibatkan empat buah rumah di Kampung Sungai Gelugor, Taman Petani Jaya, dekat sini, semalam, dilaporkan masih dalam keadaan koma.
  • IPOH - Dua beranak yang melecur ketika menyelamatkan diri dalam satu kebakaran rumah di Kampung Baru Buntong, semalam berada dalam keadaan stabil.
  • ALOR SETAR - Gambar belakang badan mangsa lecur akibat terkena simbahan petrol di taman permainan berdekatan rumahnya di Taman Jelutong, Kuala Nerang pada 1 Ogos lalu, tular di laman sosial Facebook sejak dua hari lepas.
  • SUBANG - Pengurusan Tadika Kemas kelolaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 kesal dengan ‘tangan-tangan nakal’ yang bertindak memotong wayar elektrik yang disambungkan ke meter tadika berkenaan.