KOTA BHARU - Bau busuk yang dihidu penduduk di Kampung Kemumin sejak tiga hari lalu membawa kepada penemuan mayat reput dan berulat dalam sebuah rumah.

Mayat lelaki berusia 58 tahun itu ditemui sepasukan polis yang melakukan pemeriksaan pada jam 1.30 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk yang memaklumkan terhidu bau busuk dari arah rumah berkenaan.

“Pasukan polis kemudian bergegas ke lokasi dan masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai mayat sudah berulat dan reput di atas katil di tengah-tengah ruang tamu,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, siasatan polis berjaya menjejaki keluarga mangsa yang berasal dari Perak dan dalam perjalanan ke Kelantan untuk menuntut mayat berkenaan.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan.

“Pihak polis memerlukan sedikit masa untuk mengenal pasti punca kematian kerana keadaan mayat yang reput dan dianggarkan sudah meninggal tiga atau empat hari,” katanya.

Menurutnya, melalui keterangan daripada tuan rumah yang disewa mangsa, lelaki itu bekerja di sebuah kilang di Pengkalan Chepa.

“Mangsa dikatakan berjumpa dengan tuan rumah kira-kira dua minggu lalu meminta untuk menangguhkan bayaran sewa rumah,” katanya.