KOTA BHARU - Penderitaan seorang wanita yang mengalami masalah kegagalan kelenjar peluh sehingga menyebabkan kegatalan kulit dan bertukar menjadi kehitaman menyebabkan ibu dua anak, berasal dari Kampung Panjang di sini, tidak dapat bekerja.

Lebih malang lagi apabila Fatihah Awang, 26, turut lumpuh sebelah badan, menyebabkan dia terpaksa bergantung dengan bantuan ibunya, Nazirah Adam, 50, untuk menguruskan dirinya setiap hari sejak hampir tiga tahun lalu.

Fatihah berkata, penyakit kegatalan kulitnya bermula ketika dia masih bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di bandar ini.

“Rasa tidak selesa dan akibat kegatalan yang melampau, saya segera dapatkan rawatan doktor di hospital tetapi doktor mengesahkan saya alami masalah kelenjar peluh dan memberitahu penyakit saya mungkin akan semakin serius sehingga menyebabkan lumpuh.

"Merata tempat saya dapatkan rawatan, malah turut gunakan rawatan tradisional namun tidak berhasil. Kulit saya semakin lama semakin bertukar kehitaman di muka, tangan dan seluruh badan, jadi saya amat mengharapkan bantuan bagi mengubati penyakit saya ini," katanya kepada media.

Terdahulu, keluarga tersebut menerima kunjungan pelajar tahun akhir Kolej Polytech Mara Kota Bharu (KPTM) bersama pensyarah, Wan Salwani Wan Rossli sempena program ‘Setulus Kasih Ramadan’, yang turut menyampaikan sumbangan hamper makanan. Turut hadir,
Setiausaha Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Che Othman Che Wil.

Dalam pada itu, Fatihah berkata, dua anaknya, Nurul Quruttal Ain Mat Salleh, 4, dan Nurul Damia Marisa, 3, turut dijaga ibunya selepas suaminya meninggal dunia setahun lalu akibat kemalangan.

“Semua kerja rumah, menguruskan diri saya dan mengasuh anak dilakukan ibu. Ayah juga turut membantu memandangkan adik beradik lain tinggal berjauhan.

“Semua perbelanjaan diuruskan ibu dan ayah yang turut dibantu dengan elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu menurut Nazirah, anak ketiga daripada lima beradik itu kini hanya mampu terlantar.

“Selagi makcik termampu, makcik akan jaga dia walaupun kadangkala kudrat ini tidak kuat dulu, namun untuk tinggalkan dia kepada orang lain, makcik tidak berapa yakin," katanya yang simpati dengan nasib anaknya itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TANGKAK - Kejadian banjir yang menimpa beberapa rumah penduduk di kampung Parit Pajar, di sini, baru-baru ini mendapat perhatian Amanah Ledang.
  • SENAI - “Saya harap anak saya cepat sihat kerana sejak dilahirkan lebih dua bulan lalu, dia masih menerima rawatan di hospital," ujar seorang bapa, Khairul Afendy Mohamad.
  • KOTA BHARU - Usianya sudah mencecah 10 tahun. Namun pergerakannya masih terbatas dan hanya mampu terbaring selepas disahkan menghadapi masalah saraf Celebral Palsy yang berkaitan dengan saraf.
  • KUALA PILAH - “Bila tiap kali hujan lebat dan ribut, kami selalu kesejukan sebab bumbung bocor dan tak dapat tidur lena waktu malam,” kata penduduk Orang Asli Kampung Guntur, Batu Kikir, Pital Tunggal, 56.
  • SHAH ALAM - Seorang warga emas, S Thanapakiam, 66, yang menghidap pelbagai penyakit kronik memerlukan bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatan berjumlah kira-kira RM2,500 sebulan.