PASIR MAS - Seramai 15 jemaah Masjid Mukim Padang Pauh, nyaris dihempap kubah, selepas ribut petir, jam 8.20 malam, kelmarin. Imam tua, Mohd Zain

Omar berkata, kesemua jemaah yang baru sahaja selesai berbuka puasa di masjid, pulang lebih awal, kerana mahu mengelak daripada dibasahi hujan.

Menurutnya, ada penduduk yang melihat kubah masjid ini berputar beberapa kali, sebelum jatuh di pekarangan masjid.

Dentuman kuat itu juga, katanya mengejutkan semua penduduk sekitar yang baru sahaja mahu menunaikan solat Isyak.

“Kubah masjid yang dibina sejak 1977 ini, terlalu usang dan mula berkarat.

“Sejak itu, masjid ini tidak pernah dibaik pulih, untuk keperluan penduduk,” katanya.

Sementara itu, imam muda, Ibrahim Daud berkata, pihaknya memohon kepada semua yang prihatin, membantu untuk menambahkan dana bagi pembinaan kubah baru. Beliau berkata, pihaknya memerlukan pembiayaansebanyak RM50,000 bagi pembinaan kubah, di samping bantuan untuk membaiki bumbung yang bocor.

Menurutnya, pembaikan masjid ini, akan digunakan 6,000 penduduk dari lapan kampung.

Sumbangan boleh disampaikan kepada Masjid Mukim Padang Pauh di akaun Bank Islam, 03027010046146.