KUALA KRAI - Pesakit yang menghidap penyakit misteri dari Jalan Acheh, Kampung Tengah dekat sini, terus menerima bantuan setelah kisahnya disiarkan di Sinar Harian, 3 Februari lalu.

Terbaharu Anuar Hamid, 48, menerima bantuan kerusi roda daripada Perkeso bagi memudahkan urusan hariannya ke bilik air, yang disampaikan Pegawai Perkeso Kuala Krai, Shukri Mohammad Daud.

Pernah berkhidmat di sebuah syarikat dari tahun 1985 hingga 1987, melayakkan Anuar memohon faedah bantuan ilat daripada Perkeso.

Isterinya, Suzana Ibrahim, 38, berkata, keadaan kesihatan suaminya makin bertambah teruk dan kelmarin, Anuar dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, doktor memasang tiub pada hidung suaminya bagi membolehkan minuman dimasukkan melalui saluran berkenaan.

“Suami tidak dapat makan dan minum, jadi sekarang saya dapat bagi dia minum melalui tiub. Doktor juga bekalkan ubat tahan sakit dan antibiotik,” katanya.

Suzana berkata, doktor tidak dapat mengesahkan penyakit dihidapi suaminya sehingga menyebabkan sebahagian giginya gugur, lidahnya juga turut bermasalah.

“Kelmarin, doktor beritahu kemungkinan besar suami menghidap kanser,” katanya.

Ibu tiga anak ini bersyukur, walaupun suaminya belum pulih, dia mampu membawanya ke hospital dengan bantuan kewangan disalurkan pelbagai pihak sejak kisahnya tersiar awal Februari lalu.

“Terima kasih sebab bantu kami. Jabatan Kebajikan Masyarakat, Perkeso dan semua penduduk yang prihatin dengan nasib kami,” katanya.

Wanita ini turut berterima kasih kepada jiran dikenali sebagai Sha yang mengetengahkan masalah ini kepada Sinar Harian seterusnya membolehkan pelbagai pihak tampil membantu.

“Kak Sha mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai banyak bantu kami, bantuan dia membolehkan masyarakat umum tahu masalah kami,” katanya.

Sebelum ini, JKM meluluskan bantuan bulanan pesakit terlantar kepada Anuar berjumlah RM300 bermula Mac ini di samping meluluskan Tabung Bantuan segera RM300, selain turut menyumbang barang keperluan harian kepada keluarga ini.

Awal bulan ini, Sinar Harian menyiarkan kisah Anuar yang berdepan penyakit misteri hingga menyebabkan lehernya berlubang.

Penyakit dihadapi menyebabkan dia tidak dapat makan di samping hanya tidur dengan bersandar pada sofa.