KOTA BHARU - Perhimpunan menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember ini tetap diteruskan untuk mendesak kerajaan membuat kata putus berhubung perkara tersebut.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun pelbagai kenyataan dikeluarkan, namun tiada satu pun yang menunjukkan keputusan akhir kerajaan mengenai perkara itu.

“Banyak kenyataan dikeluarkan tapi tiada satu pun menunjukkan kepastian bahawa ICERD tidak akan diratifikasikan. Semuanya cakap sukar nak dilaksanakan, tiada kenyataan tegas bahawa ia tidak akan dilaksanakan.

“Perhimpunan ini perlu diteruskan untuk beri tanda kepada kerajaan bahawa perkara ini perlu diputuskan dan ini adalah suara rakyat,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.