KOTA BHARU- Masyarakat sekarang perlu mengetahui sejarah bubur asyura terutama generasi muda memandangkan ia berkaitan dengan peristiwa zaman Nabi Noh.

Pengerusi Komuniti 1Malaysia Hutan Buloh Melor, Ismail Mohammad berkata, sebaik sahaja Maal Hijrah disambut, menjadi satu budaya rakyat di Kelantan membuat bubur asyura secara bergotong-royong.

“Bubur asyura ini jika dibuat seorang memang tidak akan menjadi dan memang ramuan dan kaedah pembuatannya memerlukan ramai tenaga kerana ia dimasak dalam tempoh yang lama kira-kira tujuh jam.

“Ketika zaman Nabi Noh dahulu, selepas banjir, keadaan masyarakat ketika itu yang mengalami masalah kekurangan makanan menyebabkan mereka bergabung usaha mengumpulkan lebihan bahan makanan dan ia dibuat bubur asyura,” katanya kepada Sinar Harian semasa Program Gotong-royong Membuat Bubur Asyura di Taman Tengku Ahmad Rithaudden Melor, di sini.

Majlis berkenaan dianjurkan tiga penggerak utama termasuk Komuniti 1Malaysia Hutan Buloh, Kawaran Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Melor dan Persatuan Taman Tengku Ahmad Rithaudden.

Ismail berkata, bubur asyura dahulu dibuat adalah hasil campuran bahan makanan seperti jagung, gandum dan bahan lain yang ada pada zaman Nabi Noh.

“Sekarang, penduduk di Kelantan menjadikan bubur asyura dengan campuran ubi keledek, jagung, beras, daging dan kacang panjang yang mengambil masa tujuh jam perlu dikacau sehingga pekat,” katanya.

Katanya, program asyura terbesar ‘Asyura 1Malaysia’ juga akan diadakan melibatkan semua kaum termasuk kaum Thailand di Kampung Aril akan diadakan pada 11
Disember nanti bagi merapatkan hubungan antara kaum.