TUMPAT - Tindakan segelintir penduduk Orang Asli membuat sekatan jalan di Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Pasik tidak mewakili suara majoriti masyarakat itu.

Tok Batin Pos Bihai, Awin Pedik mendakwa, pembinaan sekatan itu adalah tindakan segelintir individu selepas terpengaruh dengan hasutan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

"Tok Batin dan penduduk tidak bersetuju dengan tindakan kumpulan terbabit yang membuat sekatan kerana bertentangan undang-undang sedia ada.

"Pendirian mereka tidak mewakili masyarakat serta barisan pemimpin sah Orang Asli di Gua Musang. Kami memilih menyelesaikan apa sahaja isu melalui rundingan, melalui saluran yang betul," katanya.

Sebelum itu, Awin bersama sembilan Tok Batin yang membentuk Gabungan Orang Asal Gua Musang (Gabungan) bertemu Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Wisma Ibadurrahman Pasir Pekan, semalam.

Pertemuan itu bagi menyerahkan memorandum tuntutan Orang Asli berkaitan kawasan rayau atau dikenali sebagai tanah 'saka' untuk digazetkan oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau akan meneliti kandungan memorandum itu sebelum membuat tindakan susulan.

Menurutnya, dia mengalu-alukan kesediaan Gabungan bertemu dan mengadakan rundingan dengan pihaknya kerana kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan adil terhadap semua rakyat termasuk masyarakat Orang Asli.

"Satu mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan Negeri dijadual berlangsung pada 20 Ogos ini. Perkara yang akan dibincangkan kemungkinan untuk kita mengambil tindakan undang-undang terhadap tindakan membuat sekatan itu," katanya.

Isu tercetus apabila beberapa syarikat perladangan dan pembalakan didakwa menceroboh tanah wilayah adat sehingga mendorong masyarakat Orang Asli bertindak membina sekatan bagi menghalang aktiviti pencerobohan itu.