GUA MUSANG - Hanya menggunakan batang penyapu dan kotak, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Aring berjaya menghasilkan menara berkembar Petronas (KLCC) pada basikalnya.

Muhd Naufal Baktiar Mat Nazri, 9, berkata, idea menghasilkan menara berkembar itu adalah daripada bapanya sempena pertandingan basikal berhias meraikan sambutan Hari Kebangsaan di sekolahnya.

Menurutnya, menara itu dibuat menggunakan dawai dibentuk silinder dan dibalut dengan kertas aluminium, manakala batang penyapu diletakkan di atas basikal supaya binaan stabil.

"Hiasan saya ini bertemakan 'Sayangi Malaysiaku' dan menara ini adalah salah satu bangunan yang membawa nama Malaysia.

"Bapa saya ambil masa lebih dua minggu untuk siapkan basikal ini dan selain bendera Malaysia, kami hias dengan bendera negeri," katanya,

Menurutnya, kos menghias basikalnya itu tidak sampai RM50 untuk membeli bendera dan selebihnya menggunakan bahan-bahan terpakai.

Selain Muhd Naufal, pertandingan yang disertai murid Tahap Satu dan Dua itu turut dimenangi dua beradik iaitu Nur Iman Sabrina Mohd Faisal di tempat kedua dan adiknya, Nur Najihah Saffiyah Mohd Faisal di tempat ketiga.

Perarakan basikal berhias mengelilingi persekitaran Felda Aring 1 itu turut disertai murid, guru serta ibu bapa.