JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Sains menjalankan penyelidikan bagi membuktikan secara saintifik khasiat madu kelulut sekali gus bertujuan melindungi pengguna daripada membeli produk tiruan yang terdapat di pasaran.

Ketua penyelidiknya, Dr Raja Kamarulzaman Raja Ibrahim berkata, bukti saintifik hasil daripada penyelidikan berkenaan juga dapat membantu industri madu kelulut kekal berdaya saing.

Menurutnya, penyelidikan itu juga dapat memastikan harga madu kelulut yang diketahui 10 kali ganda berkhasiat daripada madu biasa itu kekal stabil.

“Berdasarkan kajian mendapati 80 peratus madu yang dijual di pasaran adalah tiruan dan di campur dengan bahan lain seperti gula seperti sukrosa mahupun bahan yang biasanya digunakan sebagai pemanis kek.

“Madu yang mempunyai campuran gula sudah tentu mempunyai kesan terhadap kesihatan pengguna khususnya penghidap diabetes. Malah pengusaha madu kelulut asli juga terpaksa bersaing dengan produk tiruan di pasaran.

“Justeru, melalui penyelidikan secara sistem chemometric  ini iaitu melalui pengumpulan data ia dapat membantu mengenal pasti sama ada madu berkenaan adalah asli atau sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, walaupun khasiat madu kelulut yang mengandungi bakteria asid laktik dan enzim memberi pelbagai manfaat untuk kesihatan manusia bagaimanapun ia belum dapat dibuktikan secara saintifik.

Raja Kamarulzaman berkata, dengan adanya bukti saintifik ini madu kelulut dapat bersaing di pasaran sebagaimana produk madu manuka dari Australia dan New Zealand.

Katanya, bagi membantu industri madu kelulut di negeri ini pihaknya juga menggunakan sampel yang dikumpulkan daripada pengusaha JBees di tiga daerah di negeri ini.

Majlis penyerahan 42 sampel madu kelulut JBees diwakili Presidennya Hazrulnizam Abu Bakar kepada Raja Kamarulzaman berlangsung di bilik mesyuarat Fakulti Sains UTM, semalam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SKUDAI - Johor adalah salah satu negeri yang penting kepada AirAsia terus berkembang pesat selain bakal menjadi antara hab terbesar untuk syarikat penerbangan tambang rendah itu.
  • SKUDAI - Pasangan kembar seiras teruja mendaftar masuk sebagai penuntut baharu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, semalam.
  • SKUDAI - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memeterai kerjasama menjalankan empat kajian membabitkan nilai RM1.1 juta bagi merangka pembangunan mampan di kawasan itu.
  • JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan syarikat Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) bagi menjalankan kajian dan pembangunan sistem kawalan trafik udara.