JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri menafikan khabar angin mengenai amaran bencana tsunami yang bakal melanda Johor bulan ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya tidak menerima sebarang makluman amaran telah dikeluarkan berhubung bencana itu.

“Sehingga kini kita tidak menerima sebarang laporan tentang perkara ini. Jabatan meteorologi negeri juga tidak maklum apa-apa.

“Kalau ada kita mesti cepat maklum, jadi rasanya benda ini (maklumat tular itu) tidak betullah,” katanya pada pemberita semasa hadir Majlis Pemashuran Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini, hari ini.

Sahruddin berkata, dakwaan bencana alam itu dilihat tidak rasional apabila melihat kepada kedudukan negeri ini yang terlindung oleh beberapa pulau negara jiran.

“Kalau ikut logik pun macam tidak betul, sebab kedudukan kita sekarang ini terlindung oleh Pulau Jawa dan pulau lain.

“Yang pasti kita sekarang tiada sebarang makluman mengenai perkara ini,” katanya.

Justeru, beliau turut memohon orang ramai untuk tidak mudah percaya khabar angin yang disebarkan melalui medium tidak sah.

Terdahulu, tular satu khabar angin di aplikasi sosial WhatsApp mengenai kejadian tsunami yang bakal melanda Johor dan Singapura.

Difahamkan, berita tidak sah itu turut mengandungi butiran lengkap membabitkan kelajuan dan ketinggian tsunami yang bakal melanda.