JOHOR BAHRU - Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Johor kerana terus memberi sokongan kepada pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) melalui pelbagai peruntukan Belanjawan Johor 2019.

Dari segi pelaburan, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengumumkan peruntukan sebanyak RM191 juta untuk membangunkan kawasan perindustrian seluas 111.70 hektar di Pengerang Industrial Park (PIP), Pengerang.

PIP adalah antara beberapa kawasan perindustrian baharu yang sedang dibangunkan di PIPC.

Ketua Eksekutif JPDC, Mohd Yazid Ja’afar berkata, JPDC mengalu-alukan peruntukan tersebut.

“PIP yang dibangunkan Johor Corporation (JCorp) akan membolehkan syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti sokongan atau berasaskan industri hiliran minyak dan gas membangunkan operasi dan loji berhampiran dengan dua projek utama di PIPC iaitu Pengerang Deepwater Terminals dan Kompleks Bersepadu Pengerang.

“Syarikat-syarikat ini boleh menawarkan khidmat sokongan atau menjadi pengguna dan pelengkap kepada aktiviti penyimpanan minyak yang dijalankan di Pengerang Deepwater Terminals serta aktiviti penapisan minyak dan pemprosesan bahan petrokimia yang akan dijalankan di Kompleks Bersepadu Pengerang,” katanya di sini, semalam.

Mohd Yazid berkata, JPDC turut menghargai keprihatinan Kerajaan Johor terhadap kesejahteraan dan kebajikan masyarakat Pengerang khususnya penduduk tempatan lingkungan kawasan PIPC.

“Kami berterima kasih di atas keputusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor untuk meneruskan pembangunan sebuah masjid baharu di Taman Bayu Damai, Pengerang dengan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor.

“Masjid baharu tersebut akan memberi manfaat kepada lebih daripada 800 keluarga Islam yang kini bermastautin dalam tujuh kawasan perkampungan di Taman Bayu Damai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, JPDC mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Johor untuk memperluaskan lagi laluan Bas Muafakat Johor di kawasan Pengerang yang kini pesat membangun.

“Ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan dari segi menyediakan khidmat pengangkutan awam.

“JPDC yakin sokongan Kerajaan Johor akan membantu meningkatkan keyakinan pelabur untuk beroperasi di PIPC dan pada masa yang sama, memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk tempatan tetap terpelihara,” katanya.