KLUANG - [VIDEO] Tapak Pelupusan Sampah CEP Renggam di Renggam, dekat sini diarah tutup selama dua minggu bermula hari ini berikutan salah sebuah benteng kolam takungan air resapan di situ pecah, petang semalam.

Kejadian benteng pecah berkenaan adalah yang kedua selepas masalah sama berlaku enam bulan lalu yang menyebabkan kandungan ammonia dalam air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam meningkat, memaksa operasi rawatan air mentah terpaksa dihentikan sementara.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique berkata, arahan tegas itu terpaksa dibuat bagi membolehkan SWM Environment Sdn Bhd segera membaiki benteng kolam tangkungan air resapan yang pecah berkenaan.

"Penutupan Tapak Pelupusan Sampah CEP Renggam ini sehingga 28 Januari depan menyebabkan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT)  iaitu Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR),  Majlis Perbandaran Kluang (MPK)  dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) tidak dibenar menghantar sampah yang dipungut ke sini.

"Kementerian bertindak mengarahkan SWM Environment mengambil alih kerja penghantaran sampah ke Tapak Pelupusan Sampah Seelong,  Senai.

"Dalam masa sama dikehendaki membaiki semula kolam takungan berkenaan selain melaksanakan kerja penutupan sampah dengan kanvas serta plastik.

“Petang semalam salah sebuah benteng kolam takungan air resapan pecah kerana tidak mampu menampung air hujan yang datang dari bukit sampah di sini.

“Kementerian melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan menyediakan laporan harian kepada exco kerajaan tempatan untuk dibentangkan kepada mesyuarat exco setiap Rabu,”katanya.

Kawasan Tapak Pelupusan Sampah CEP Renggam.

Beliau berkata demikian susulan lawatan kerjanya di Tapak Pelupusan Sampah CEP Renggam di Renggam, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jais Sarday; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ismail Mokhtar dan Pengurus Projek SWM, S Prakash.

Halimah berkata, SWM Environment juga dikenakan penalti dan diarahkan menanggung bayaran yuran pungutan bernilai RM49,000 dan yuran pengangkutan RM100,000 yang sebelum ini ditanggung PBT terbabit.

"Jika SWM gagal membaiki benteng berkenaan dalam tempoh dua minggu ditetapkan, penalti akan berjalan secara harian dan ditanggung mereka," katanya.

Difahamkan, berikutan kandungan ammonia yang tinggi di punca air mentah Sungai Benut menyebabkan LRA Simpang Renggam menghentikan sementara proses rawatan air menyebabkan kira-kira 7,000 penduduk Simpang Renggam terjejas bekalan air selama lebih enam jam semalam.

Sementara itu, Halimah berkata, SWM Environment juga diarahkan untuk menutup bahagian longokkan sampah di kawasan tinggi serta kritikal dengan kanvas khas.

Katanya, ia bagi menghalang limpahan air larutan resapan mengalir keluar daripada kolam tangkungan khas berikutan musim hujan kebelakangan ini.

"Kementerian juga sudah melantik konsultan khas bagi memantau kerja pembaikan benteng yang pecah kerana kita tidak mahu perkara ini berulang berkali-kali hingga menjejaskan bekalan air penduduk," katanya.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :