BATU PAHAT - Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah mengingatkan para graduan supaya jangan leka dan sombong dengan ijazah yang diterima, selain tiada jalan pintas untuk berjaya.

Baginda yang juga Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bertitah, walaupun seseorang itu mempunyai ijazah tetapi tidak akan ada nilainya jika gagal untuk mendapatkan kerja dan graduan perlu bermula dari bawah dengan mencari pengalaman terlebih dahulu.

Titah baginda, mencari pengalaman, meningkatkan kemahiran dan menimba pengetahuan sangat penting untuk graduan agar menjadi seorang yang berjaya satu hari kelak.

“Pada masa yang sama, ingin saya mengingatkan jangan terlalu sombong dengan ijazah berkenaan sehingga memilih kerja dan sanggup menganggur serta terus menyusahkan ibu bapa,” titah baginda pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-18 UTHM, di Parit Raja, di sini, hari ini.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor , Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pro Canselor UTHM.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Osman Sapian, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri Aminolhuda Hassan serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Baginda bertitah apabila bekerja kelak, setiap graduan mestilah menjaga nama baik dan reputasi tempat mereka belajar serta berazam untuk menjadi seorang pekerja cemerlang.

“Setiap graduan juga perlulah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, tekun, jujur dan amanah,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan para graduan supaya tidak lupa jasa dan pengorbanan ibu bapa atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan.

“Balaslah budi mereka (ibu bapa) dengan jagalah mereka dengan penuh kasih sayang untuk selama-lamanya,” titah baginda lagi.

Seramai 4,048 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen itu. – Bernama