KLUANG - Seorang kontraktor ditahan kerana telah memukul dan membotakkan kepala isterinya yang disyaki mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kejadian tersebut telah dilaporkan oleh bapa mangsa berusia 63 tahun yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor.

Menurutnya, pada Isnin lalu, lebih kurang jam 8.30 malam, bapa mangsa telah menerima  panggilan telefon daripada anaknya yang tinggal di Taman Kluang Setia,di sini yang menyatakan mahu balik ke rumahnya di Petaling Jaya.

"Dalam panggilan tersebut, mangsa yang berusia 32 tahun itu hanya menangis tanpa menceritakan apa yang sebenarnya berlaku kepada bapanya.

"Bagaimanapun, semalam lebih kurang 8.30 pagi bapa mangsa telah terima gambar anaknya melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar oleh besannya.

"Bapa mangsa cuba menghubungi nombor telefon anaknya namun tidak berjaya. Menerusi gambar yang dihantar bapanya mengesyaki anaknya telah dipukul dan dibotakkan kepala oleh suaminya," katanya kepada media, hari ini.

Mohamad berkata, hasil siasatan awal mendapati  mangsa telah dipukul dengan menggunakan tangan di bahagian muka dan kepala.

Katanya, mangsa yang merupakan suri rumah telah mengalami lebam di bahagian muka, kepala dan kedua tangannya.

"Kepala mangsa juga telah dibotakkan oleh suspek. Ekoran daripada laporan yang dibuat oleh bapa mangsa, suspek berusia 32 tahun itu telah ditahan.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan akan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan / 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

"Suspek kini telah ditahan reman sehingga 18 November ini untuk siasatan lanjut," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.