TANGKAK - Seorang parah manakala 15 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di lebuh raya arah selatan, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, kemalangan di Kilometer 162.3 Tangkak-Bukit Gambir telah membabitkan pelanggaran sebuah bas, lori tangki, treler, lori satu tan serta sebuah kereta jenis Nissan X-Trail.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Bakarya Mohd Salleh berkata, mangsa yang parah adalah pemandu treler manakala kenderaan lain masing-masing membabitkan seorang pemandu mengalami cedera ringan.

“Manakala, bas yang membawa 12 penumpang juga dilaporkan selamat dan hanya cedera ringan. Kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Tangkak.

“Terdahulu, bomba menerima panggilan pada jam 3.50 petang sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian. Operasi tamat kira-kira sejam kemudian dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, kemalangan di lorong kiri berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tangkak mengakibatkan kesesakan luar biasa sebelum trafik kembali lancar selepas kedua-dua lorong berkenaan kini dibuka pada jam 6.30 petang.