• Arsyad
1 /

KOTA TINGGI - Seorang pelajar Tingkatan Empat nekad menggunakan kepakaran berenangnya untuk membantu seorang kanak-kanak perempuan daripada lemas di Pantai Tanjung Balau, Desaru, dekat sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Mohd Syafiq Arsyad Zainul Abidin, 16, bersama ibu saudara, Rita Zuhaida Mohd Nazeer, 24, dan rakan ibu saudaranya, Siti Aqilah Jahari, 23, turut berjaya menyelamatkan dua lagi mangsa daripada lemas dihanyut ombak kuat.

Pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) itu berkata, dia pada mulanya menyangka suara jeritan minta tolong daripada kanak-kanak terbabit hanyalah sekadar gurauan berikutan terdapat sekumpulan remaja lain sedang bermandi di kedudukan berhampiran.

“Saya bersama makcik dan rakannya sedang mandi-manda bersama sebelum kedengaran suara jeritan minta tolong daripada kanak-kanak terbabit.

“Melihat tiada respons dan tindakan daripada kumpulan remaja yang mandi berhampiran kanak-kanak terbabit, saya menyangka jeritan minta tolong itu sekadar gurauan.

“Apabila melihat kanak-kanak terbabit terkapai-kapai dengan mulutnya sudah mengeluarkan buih, saya segera berenang menyelamatkannya.

“Manakala dua lelaki dewasa yang dilihat bersama kanak-kanak terbabit turut sama hampir lemas, makcik saya bersama rakannya segera mencapai mereka dan membawa ke arah darat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Syafiq yang berasal dari Taman Bukit Kempas berkata, dia diberitahu oleh orang ramai bahawa terdapat tiga yang lain dipercayai ahli keluarga tiga individu yang diselamatkan masih belum ditemui.

“Kami hanya berjaya mengesan tiga orang sahaja, namun saya melihat orang awam yang berada di pantai ini turut sama membantu menjejaki tiga yang lain,” katanya.

Menurutnya, kehadiran dia sekeluarga ke pantai terbabit bertujuan untuk beriadah dan berkelah bagi mengisi masa terluang sempena cuti Tahun Baru Cina.

“Saya sendiri tidak menyangka perkara ini akan berlaku. Kami tiba di pantai ini sekitar jam 11 pagi. Sebaik sahaja tiba, kami menjamah sedikit hidangan sebelum mula ke pantai untuk mandi-manda.

“Ketika kejadian, saya hanya tawakal kepada ALLAH ketika cuba untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit. Mujurlah ilmu berenang yang dipelajari sejak berusia lima tahun memberi manfaat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan kejadian terbabit dan memberitahu lima daripada enam mangsa yang hampir lemas berjaya diselamatkan orang awam.

“Seorang daripadanya berusia 17 tahun ditemui mati lemas dalam kejadian jam 2.50 petang. Mayat mangsa lelaki ini ditemui pasukan penyelamat sekitar jam 3.15 petang dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat,” katanya.