BATU PAHAT - Permodalan Nasional Berhad (PNB) bakal membina 5,000 unit rumah mampu milik di negeri ini jika mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, jumlah tersebut akan ditambah lagi mengikut keperluan dan permintaan dari semasa ke semasa

“Saya difahamkan 5,000 unit rumah dibina dan saya juga telah meminta PNB untuk menambah jumlahnya.

“PNB kata mereka tiada masalah untuk membina lagi asalkan kerajaan negeri mengizinkannya dalam masa yang sama mempunyai tanah untuk dibangunkan rumah mampu milik berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2018 (MSAM) di Stadium Batu Pahat, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Pengarah Kesihatan Negeri, Selahuddeen Abd Aziz.

Dalam pada itu, Najib berkata, PNB terus melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menyumbangkan sebanyak RM700,000 kepada Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Katanya, sumbangan berkenaan akan diberikan kepada unit hemodialisis HSNI untuk naik taraf unit berkenaan dan menambah kemudahan untuk pesakit.

“PNB komited melaksanakan CSR mereka dan setiap kali diadakan MSAM ini ada sahaja aktiviti berbentuk kebajikan akan diberikan kepada rakyat untuk  meringankan beban mereka.

“Selain memainkan peranan sebagai sebuah badan pelaburan, PNB juga melaksanakan peranan untuk kesejahteraan rakyat yang turut diwujudkan oleh kerajaan,” katanya.

INFO: Turut sumbang RM700,000 kepada HSNI