MERSING - Politeknik Mersing Johor (PMJ) satu-satunya institusi pendidikan yang menjadi pusat penilaian bahasa Inggeris peringkat antarabangsa, Test of English for International Communication (TOEIC) di zon selatan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia, Dr Shahiza Ahmad Zainuddin berkata, sijil kompetensi TOEIC itu boleh menjadi nilai tambah untuk sesiapa sahaja dalam mencari pekerjaan.

“Sijil kompetensi TOEIC ini bagi menilai kecekapan pelajar politeknik sebagai persediaan mereka memasuki industri, sekali gus memudahkan mereka dapatkan pekerjaan kerana sijil ini diiktiraf.

“Bukan penuntut saja, malah ia juga peluang kepada orang awam untuk duduki TOEIC kerana ia berguna untuk memohon pekerjaan lain di peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Politeknik Mersing dan Eshia & Associates di Politeknik Mersing, semalam.

Termeterai kerjasama itu, kedua-dua entiti tersebut menjadi rakan kolaborasi perkhidmatan TOEIC di zon selatan.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Politeknik Mersing, Leftenan Kolonel Bersekutu Hassan Siraj dan wakil Eisha Associates, Shamrin Amir.

Menurut Dr Shahiza, sijil TOEIC diiktiraf oleh Educational Testing Service (ETS), Princeton, Amerika Syarikat yang digunapakai oleh lebih 150 negara seluruh dunia.

“Industri yang besar sampai ke peringkat antarabangsa mengguna pakai sijil ini jadi ini peluang komuniti setempat terutama di Mersing.

“Lebih 150 negara iktiraf sijil ini. Sekiranya pelajar kita mengambil penilaian ini ditambah dengan kemahiran yang ada, pasti membantu kebolehpasaran penuntut kita,” katanya.

Semalam, seramai 70 kakitangan dan penuntut PMJ mengikuti kelas sebelum menduduki penilaian TOEIC yang akan dianalisa sepenuhnya secara digital.